Seorang penganalisis politik menyarankan kumpulan profesional dalam Pas yang juga digelar Geng Publika mengalah kepada Geng Ustaz menjelang pemilihan parti itu pada September depan.
Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat pertembungan dua blok dalam Pas itu akan semakin meruncing selagi salah satu pihak tidak berlapang dada.
“Saya jangkakan suhu panas ini tidak mudah untuk sejuk, kecuali dengan satu cara sahaja, iaitu kumpulan profesional mengendur, beralah dan memberi laluan kepada jalur agama.
“Jika tidak, kehangatannya akan memuncak dan terus memuncak, kerana sudah tentu geng ustaz sekali-kali tidak akan berundur dan beralah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kepimpinan ulama
Untuk rekod, perpecahan dalam Pas dengan wujudnya kem Geng Ustaz dan Geng Publika telah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.
Geng Publika dikatakan cuba mencabar kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.
Antara nama yang dikaitkan dengan ‘Geng Publika’ yang didakwa mahu melanggar kepimpinan ulama Pas ialah Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi.
Mereka diberi gelaran “Publika” kerana sering dikaitkan dengan pertemuan di kawasan Publika, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Dr Yusri berkata, krisis dalam Pas kali ini dengan munculnya label-label baharu seperti HooSAM 2.0, Jebon 2.0, Taksubiyyun Dr Sam serta panggilan lain yang lebih teruk dan kurang sesuai ditulis, dilihat mengulangi skrip muktamar 2015 lalu.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan berulangnya kembali perpecahan dalam Pas pasca muktamar parti tersebut pada September nanti.
No comments:
Post a Comment