Fathi Aris Omar.
(Kenang-kenangan buat Pak Din dan RPK)
Selepas PRU November 1999, waktu itu Malaysiakini baru berdiri beberapa bulan, demonstrasi mahu terus dihidupkan.
Pada pilihan raya umum sebelum-sebelum ini, pembangkang selalunya monyok selepas berkempen dan penat ketewasan.
Mereka bangkit lebih agresif dan lebih tersusun pertengahan penggal. Di pihak kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad pula, rasa geram masih ada.
Walau menang selesa, pemerintah makin menekan, akhbar dan majalah ditutup. Pemimpin dan editor diheret ke mahkamah bawah Akta Hasutan.
Kali ini, selepas PRU 1999, gerak politik pembangkang (baharu) bertukar arah. Muncul idea menganjurkan perhimpunan Gelita 14 (Black 14) pada 14 April, ulang tahun pertama pemenjaraan DS Anwar Ibrahim bersabit kes pertama.
Kawalan luar biasa ketat, pasukan keselamatan berseragam celoreng lengkap bersenjata dikerah berjaga-jaga di tengah ibu kota. Menakutkan tetapi demonstrasi tetap diteruskan.
September tahun itu, kerajaan pusat menarik bayaran royalti petroleum Terengganu, dimenangi Barisan Alternatif (baca: PAS) setelah 40 tahun BN berkuasa. Hilang hasil sebanyak RM800 juta atau 80 peratus belanjawan negeri!
Pada awal November 2000, perhimpunan di Jalan Kebun bertukar demonstrasi di tengah-tengah lebuh raya Kesas apabila polis melarang bergerak ke lokasi itu. Bom asap berterbangan, demonstran lari bertempiaran. Ribuan kereta tersadai di atas jalan.
Hujung bulan itu, pilihan raya kecil Lunas dimenangi Saifuddin Nasution Ismail, majoriti lebih 500 sahaja, merampas kubu BN yang dikuasai dengan lebih 4,000 undi pada PRU 29 November 1999.
Awal 2001, tiba-tiba media arus perdana menyerang Malaysiakini berhubung isu George Soros, kenalan Dr Mahathir yang dilabelnya "penyangak" mata wang atas alasan keruntuhan nilai ringgit.
Perdana menteri menuduh portal berita ulung itu "pengkhianat" negara. Untuk beberapa minggu, TV dan akhbar memainkan muka dan berita Steven Gan, Premesh Chandran dan (sekali-sekala) saya.
Akhirnya, setiausaha parlimen Kementerian Penerangan TS Zainuddin Maidin panggil kami ke Angkasapuri. Saya pula terpaksa menjelaskan tohmahan isu dana ini kepada Majlis Keselamatan Negara.
Belum sejuk serangan itu, penggerak demo mahu menyambut ulang tahun kedua Gelita 14 di pejabat (lama) SUHAKAM di Jalan Raja Laut. Tetapi nasib mereka malang kali ini, 10 daripada penggiat utama ini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka didakwa merancang menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dilancarkan. Poskad ini disebarkan. Daripada 10 pemimpin gerakan jalanan di poskad ini, Pak Din dan RPK sudah meninggalkan kita. Hanya selang dua minggu.
Al-Fatihah untuk mereka berdua. Salam takziah kepada keluarga dan sahabat seperjuangan.
Kecuali Mohamad Ezam Mohd Noor dan Abdul Ghani Harun, semua lapan lagi tangkapan dilaporkan secara hampir "breaking news" di Malaysiakini.
Ezam dan Ghani "hilang dari radar", tidak diketahui ke mana sewaktu tahanan ISA itu. Beliau naik pesawat ke tempat ceramah tetapi tidak sampai.
Pada hari yang sama, petang 10 April yang cemerlang, tiba-tiba telefon di meja saya berdering. Khairul Anuar Ahmad Zainudin (aka Jonah) dengan suara tersendu-sendu, "Wan, Isham kena tangkap!"
Saya tercengang sebentar. Tidak percaya. Saya baru sahaja terserempak dengan Isham Rais ketika turun minum di mamak Mydin. Saya bergurau, "ramai peminat kau, Isham" tetapi beliau semacam tiada mood hendak berjenaka saat itu.
Mendengar cerita Jonah, saya laungkan di bilik berita Malaysiakini: "Isham Rais ditangkap bawah ISA!" Wartawan dan editor tidak percaya, kenapa perlu ISA sewaktu tiada krisis apa-apa?
Steven minta semak lagi sebelum tulis berita. Saya call Tian Chua. Katanya, "Fathi, polis di depan saya. Saya ditahan ISA". Saya call pula Saari Sungib. Isterinya Kak Jije angkat, "polis sudah sampai, tunggu Pak Abu selesai solat (Asar)."
Kami gagal mendapat reaksi atau pengesahan polis tetapi sudah sahihlah operasi ISA sedang digerakkan. Malam, selepas habis kerja, saya minum dengan (sekarang Tan Sri) Johari Abdul di Ampang.
Sewaktu mahu beredar, Jo beritahu kami: "Gobi ditahan di Langkawi". Beliau ke sana berceramah dalam usaha menggerakkan demo 14 April di Kuala Lumpur.
Pada keesokannya atau sehari kemudian, kumpulan editor sedang mesyuarat pagi di pejabat Malaysiakini (blok di belakang sekolah Tamil Bangsar) ketika Zunar telefon: "Raja Petra kena tahan ISA."
Polis memblok kereta yang sedang dinaiki (atau dipandu) RPK. Saya sudah kenal beliau agak rapat kerana (ketika menganggur, sebelum bertugas dengan Malaysiakini) saya ada projek penerbitan dengannya dan juga Prof KS Jomo, waktu itu di Universiti Malaya.
(Projek penerbitan apa, tidak perlulah saya beritahu di sini. Saya juga membantu Zunar di pejabat Harakah ketika PRU itu.)
Saya sudah lupa RPK mangsa ISA ke berapa tetapi Pak Din mangsa terakhir daripada 10 penggerak itu. Lokman Noor Adam yang keras kepala dan terlebih berani ditahan sebelumnya sejurus selepas bertemu kumpulan penyokong.
Pak Din sedang minum pagi di medan selera Taman Melawati, Hulu Kelang ketika ditahan. Pada malamnya, ketika kami makan di tepi gereja Dataran Merdeka, saya sudah ingatkan Pak Din: SB sedang ikut kita!
Kami diekori hingga ke Bukit Antarabangsa ketika bertemu seorang lagi penggerak awal Anuar Mohd Nor. Saya ingatkan lagi Pak Din: betullah SB sedang ikut kita! Tetapi, dek sudah kalih, tiada lagi rasa gentar di dalam dirinya.
GMI melahirkan GMMI (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA). Kaum pelajar juga, walau kecil, turun berdemo dan turut jelajah berkempen bantah ISA. Kerajaan kuatkuasa pula larangan berceramah!
Dua aktivis siswa GMMI turut menjadi mangsa ISA.
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohamad Fuad Ikhwan ditahan polis di bawah Seksyen 73 (1) di depan sebuah bengkel di Jalan Sentul jam 4.05 petang 6 Julai.
Dua hari sebelumnya Jonah, waktu itu pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM), ditahan di bawah akta yang sama ketika sedang mengiringi enam aktivis pelajar ke balai polis Dang Wangi.
Tujuh aktivis siswa termasuk Rafzan Ramli dihadap ke mahkamah atas kesalahan berdemonstrasi di depan Masjid Negara pada Jun. Beliau dipecat dan menamatkan pengajian 16 tahun kemudian!
Daripada 10 nama di poskad ini, empat dibebaskan pada Mei, sementara enam ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun. Nama mereka bertanda ** di bawah.
POSKAD (dari kiri, atas): Tian Chua**, Ezam Mohd Noor**, Saari Sungib**, N Gobalakrishnan,
(dari kiri, baris kedua) Hishamuddin Rais**, Raja Petra Kamarudin, Dr Badrulamin Bahron**, Badaruddin Ismail (Pak Din), dan
(bawah) Lokman Noor Adam** dan Abdul Ghani Harun.
CORETAN BERKAITAN
https://www.facebook.com/share/p/rHYBnDfHabZR1YgR/?mibextid=oFDknk
https://www.facebook.com/share/p/2pnZZ5uzWSe4NYu2/?mibextid=oFDknk
https://www.facebook.com/share/p/MYepggfQJ7MRxZPD/?mibextid=oFDknk