TIADA TAHANAN RUMAH UNTUK NAJIB SEBELUM PRU16?

Anwar Ibrahim berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya patut mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib Razak selepas kes 1MDB yang dihadapinya selesai menjalani perbicaraan di mahkamah.

Menegaskan beliau tidak akan sesekali mengenepikan kuasa Agong, Perdana Menteri berkata, syornya itu hanya akan dikemukakan jika diminta oleh baginda.

“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, Tuanku, lalui proses itu,” katanya semasa wawancara dengan Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar, semalam.

Perdana Menteri berpendirian, semua pihak harus menumpukan kepada prosiding mahkamah kes 1MDB yang sedang berjalan, berbanding isu tahanan rumah untuk Najib seperti dibangkitkan mutakhir ini.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Susulan itu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, beliau menyatakan telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.

Meskipun pandangan Anwar berkenaan isu tahanan rumah Najib itu hanya merupakan syor jika diminta oleh Agong, bersesuaian pula kes semakan kehakiman berkaitan titah adendum telah pun difailkan di mahkamah, apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu secara umumnya bolehlah disimpulkan sebagai pendirian kerajaan yang mungkin turut akan disampaikan dalam perbicaraan semakan kehakiman nanti.

Dengan begitu pendirian kerajaan, ertinya kerajaan tidak setuju Najib diberikan tahanan rumah.

Dengan itu, bolehlah juga difahami kenapa titah adendum itu tidak didedahkan sebelum ini.

Najib kini masih ada empat lagi kes mahkamah berkaitan 1MDB yang masih berjalan dan belum selesai.

Oleh kerana semua perbicaraan itu masih di peringkat awal, sukar untuk menjangka bila ia akan berakhir.

Mungkin tiga empat tahun lagi atau barangkali lebih lama daripada itu barulah ada pengakhiran semua kes tersebut.

Berdasarkan pengurangan hukuman yang diberi kepada Najib oleh Lembaga Pengampunan sebelum ini, tarikh beliau patut dibebaskan daripada penjara ialah pada 23 Ogos 2028.

Jika Najib bebas daripada semua pertuduhan mahkamah berkaitan semua empat kes 1MDB yang sedang dihadapinya sekarang, keputusannya barangkali hanya akan diketahui dalam tempih waktu yang tak banyak berbeza dengan tarikhnya keluar penjara.

Namun, jika beliau didapati bersalah atas satu atau keempat-empat kes 1MDB yang sedang dihadapinya, tempoh bicara pasti akan menjadi lebih panjang atau seterusnya melibatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ertinya, jika pandangan Anwar itu mahu diterima pakai iaitu Najib hanya patut diberi tahanan rumah selepas kes mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang dihadapinya selesai, ia bermakna detik itu sudah hampir dengan tarikh pembebasan bekas Perdana Menteri itu daripada penjara atau boleh jadi ia berlaku selepas 23 Ogos 2028.

Yang hampir pasti, semua tarikh itu adalah selepas PRU16.

Bermakna lagikah tahanan rumah kepada Najib ketika itu? – ShahbudinHusin 15Mei2024.

 


No comments: