Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis melontar
cabaran agar pembangkang membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya
mahu menumbangkan kerajaan.
Tegasnya, Kerajaan Madani sudah memberi peluang kepada usul tidak
percaya dibuat sebelum ini namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang
sejak setahun lalu.
"Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya), dah setahun.
Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa.
"Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa ini (Akuan
Berkanun (SD) bagi menumbangkan kerajaan) selain propaganda untuk menipu
penyokong supaya (mereka) tak hilang semangat," katanya dipetik.
Anwar berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas selepas
menghadiri satu acara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor sebagai
mengulas dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa bahawa
pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 SD untuk menjatuhkan
pentadbiran diterajui beliau.
Ditanya sama ada SD yang didakwa dimiliki pembangkang itu sebagai
tidak sah, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak tahu
kesahihan dakwaan tersebut.
"Kalau ada (SD) saya tak tahu," katanya.
Anwar sementara itu menyokong cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang,
Hassan Abdul Karim bahawa sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri harus
diputuskan melalui undi percaya di Dewan Rakyat dan bukannya berdasarkan SD.
"Itu pandangan yang sesuai, kerana hari-hari orang
tanya...Langkah Dubai Lah. Sekarang dah terbukti semua itu hanyalah sekadar
politik cemas kalangan mereka yang kehilangan modal," tambah Pengerusi
Pakatan Harapan (PH) itu lagi.
*Foto kredit: Afiq Hambali/PMO