Anwar bimbang SPRM beri tekanan, campur tangan politik siasat Nazlan

 


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali, dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik.

PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali, dianggap sebagai cubaan memberi tekanan dan campur tangan politik, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nazlan memiliki RM1 juta dalam akaunnya yang tidak dapat dijelaskan.

Katanya, SPRM membuka kertas siasatan selepas menerima “beberapa laporan” dan bukan disebabkan dakwaan dibuat dalam portal atau media sosial.

Anwar berkata, institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti hakim.

“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik.

“Ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru, campur tangan SPRM melanggar prinsip ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nazlan membuat laporan polis berhubung tuduhan itu sambil berkata, ia adalah “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” serta bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes Najib Razak, di mana bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dalam pada itu, Anwar berkata, integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.