TAHNIAH KERAJAAN PAKATAN HARAPAN KERANA MENGORAK LANGKAH MEMPERKASA MAHKAMAH SYARIAH


Usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tidak boleh dijadikan sekadar modal politik semata-mata. Ianya memerlukan komitmen dan kejujuran di dalam menentukan bidangkuasa dan peningkatan Mahkamah Syariah itu tidak berada terlalu jauh berbanding dengan Mahkamah Sivil.

Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan, khususnya atas daya usaha Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) YB Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Timbalannya YB Puan Hajjah Fuziah Salleh yang telah memulakan langkah ke arah itu apabila membawa RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan juga RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) untuk dibahaskan sebelum mendapat kelulusan di Parlimen. Meskipun ianya bermula di peringkat Wilayah-Wilayah Persekutuan terlebih dahulu, tetapi ianya amat bermakna dan penting sebelum RUU ini diperluaskan di setiap negeri.

Kalau tidak bermula dengan langkah pertama, kita tidak akan ke mana-mana. Kalau sekadar bercakap semata-mata untuk dijadikan modal politik, ianya juga tidak ke mana-mana. Adakah usaha ini sudah mencukupi? Sudah pasti tidak. Komitmen kerajaan PH adalah untuk menentukan setiap negeri mempunyai dasar yang sama berkaitan hal ehwal Mahkamah Syariah ini. Tidak mudah kerana kita faham setiap negeri mempunyai bidangkuasanya tersendiri kerana agama Islam di negeri-negeri terletak di bawah Sultan. 
Justeru itu, di peringkat awal ini lebih mudah ianya bermula di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan sekiranya perlaksanaan RUU ini ternyata memperlihatkan kesan yang lebih baik, maka setiap negeri sudah pasti akan mengambilnya untuk dipraktikkan.

Usaha kerajaan ini sudah pasti menggembirakan pihak yang bertanggungjawab di dalam mengurus dan mentadbir Mahkamah Syariah termasuk para Peguam Syarie. Mereka melihat usaha kerajaan ini adalah sesuatu yang baik dan mereka nantikan sekian lama iaitu untuk melihat Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil.

RUU ini masih di peringkat Parlimen dan dibahaskan. Tujuan perbahasan adalah untuk mencari sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki dan memberikan peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan pendapat dan pandangan bagi menambahbaik RUU tersebut.

Baru setahun kita menjadi kerajaan kita telah berjaya memulakan langkah ini. Kita bawa dan kita bahaskan tanpa kita minta tangguh-tangguh lagi. Tahniah !!

WFAUZDIN NS

No comments: