MB SELANGOR LANGGAR DISIPLIN PARTI, CUBA HALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?


Walaupun tidak menyebut nama, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari jelas menujukan Anwar Ibrahim sebagai dalang di sebalik penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin Ali.
Amiruddin berkata, dalang penyebaran video yang didakwa melibatkan Azmin itu semakin jelas sekarang ini.
“Akhirnya sekarang makin hari makin waktu, makin saat, kita dapat melihat semakin hampir dan semakin hampir ia (video seks) dilakukan oleh mereka yang pernah melalui detik sejarah hitam ini, yang pernah berjuang melalui detik sejarah hitam ini dan melawan detik sejarah hitam ini.
“Malahan menjadi asas perjuangan ini,” kata beliau ketika berucap di majlis kesyukuran untuk Azmin di kediamannya, malam semalam.
Katanya lagi, PKR kini dihantui oleh “hantu” yang menghantui parti itu sejak dua dekad lalu.
Tidak sukar memahami siapakah yang dimaksudkan oleh Amiruddin sebagai dalang itu.
Tidak lain tidak bukan, Anwarlah yang dimaksudkannya itu. Siapa pun dengan mudah dapat memahami kata-katanya.
Soalnya, adakah beliau mempunyai bukti terhadap dakwaannya itu?
Kalau polis pun masih menjalankan siasatan dan Anwar sendiri bertegas agar dalang penyebaran video itu didedahkan, selain pelakunya, bagaimana Amiruddin boleh tahu lebih awal mengenainya?
Adakah beliau lebih hebat daripada polis?
Jika ada bukti, sudahkah beliau menyerahkan kepada pihak polis bukti itu atau semua ini hanya dakwaan kosong semata-mata?
Sebagai Menteri Besar Selangor dan salah seorang anggota pimpinan PKR, tindakan Amiruddin ini bagaimanapun jelas suatu kebiadapan dan telah melanggar disiplin parti.
Beliau telah memburuk-burukkan Anwar selaku Presiden PKR secara terbuka, semberono dan tanpa bukti.
Tindakan disiplin tentu saja boleh diambil terhadapnya sebagaimana ramai pemimpin PKR, termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dipecat baru-baru ini kerana membuat tuduhan terbuka tanpa bukti terhadap pemimpin parti.
Jika dipanggil polis, sediakah Amiruddin menunjukkan bukti terhadap apa yang didakwanya itu?
Tetapi, meski begitu, beranikah Amiruddin menolak tanggapan bahawa pelaku dalam video seks sejenis itu bukan Azmin sebagaimana tersangat ramai orang mempercayainya begitu?
Antara pelaku yang lebih mudah untuk dikesan berdasarkan paparan dalam video, mengapakah dalang penyebar yang belum dikenalpasti begitu mudah beliau kaitkan dengan Anwar?
Tidakkah ini, tambahan lagi kerana Amiruddin adalah sekutu rapat kepada Azmin, adalah suatu cubaan yang sangat jelas untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri ke-8?
Siapa akhirnya yang menjadikan video seks ini sebagai isu politik untuk kepentingan peribadi? (Shahbudindotcom 22/07/2019)

No comments: