Isu GST: ‘Ambil sesuatu tanpa kebenaran adalah merompak’


Pembangkang dilihat cuba untuk mengalihkan isu ‘rompakan’ wang GST yang dilakukan pentadbiran Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak sebelum ini dengan tindakan dangkal. 

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, tindakan pentadbiran Najib memasukkan kutipan GST ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan dan bukannya Akaun Pembayaran Balik GST tanpa menjelaskan kepada rakyat menimbulkan persoalan.

“Mengambil sesuatu tanpa kebenaran dan tanpa sebarang niat untuk memulangkannya adalah rompak,” tegasnya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Beliau mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob memulakan usul untuk merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu ‘rompakan’ GST.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam surat kepada PAC pada Oktober lalu berkata tindakan menyalurkan terus kutipan GST ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutuan adalah suatu tindakan yang menyalahi undang-undang. 

Menurut beliau, tindakan itu melanggar Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka dalam kenyataan hari ini berkata PAC telah mengesahkan bahawa kutipan GST mesti diletakkan dalam Akaun Pembayaran Balik GST mengikut Seksyen 52(2) Akta GST 2014.

“Najib dan kerajaan yang lalu tidak mematuhi peruntukan ini kerana wang yang dikutip daripada GST telah diakaunkan secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

“Najib telah cuba mempertahankan tindakan ini dengan menggunakan Seksyen 54(5) Akta GST 2014, yang memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk mengarahkan pemindahan wang daripada Akaun Pembayaran Balik GST ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

“Justifikasi ini sememangnya tidak sah kerana wang yang dikutip daripada GST mesti dibayar ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST terdahulu sebelum dipindahkan ke Kumpulan Wang Hasil Disatukan, bukannya secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan,” tegasnya.


No comments: