Henti spekulasi Anwar bakal PM
Saya akan menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad, tegas Anwar Ibrahim di pertemuan bekas pimpinan Angkatan Muda Keadlian di Kuala Lumpur malam ini.
“Hari ini Dr Mahathir (sebagai perdana menteri), selepasnya Anwar,” kata Presiden PKR di hadapan 200 pimpinan Angkatan Muda Keadilan.
“Tak perlu spekulasi tentang hal ini, kerana Pakatan Harapan berjanji ia akan ditunaikan,” jelasnya.
Sementara itu, kata Anwar, Dr Mahathir harus diberikan ruang mentadbir negara.
“Kita sokong Dr Mahathir kerana beliau komited untuk reformasi (yang kita perjuangkan),” katanya.
Walaupun perhimpunan itu untuk melancarkan sebuah NGO baru yang dikenali sebagai Generasi Keadilan, yang bertujuan untuk menjaga kebajikan bekas pemimpin PKR, Anwar bagaimanapun turut memberikan gambaran mengenai perjuangan yang digalang pemimpin baharu dan bekas pemimpin angkatan pemuda PKR.
“Kalian semua menderita untuk PKR dengan darah dan air mata. Pemimpin baharu tidak alami banyak masalah.
“Tetapi jika ahli menilai pemimpin mereka berdasarkan kontrak, maka tidak ada bezanya dengan Umno,” kata Anwar.
Walau bagaimanapun, ahli politik berusia 71 tahun itu tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya.
Acara itu dihos oleh Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar dan Senator Pulau Pinang Yusmadi Yusoff.
Shamsul baru-baru ini terperangkap dalam serangan ketika bekas pembantunya, Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa bahawa dirinya telah melakukan hubungan seksual dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Shamsul kemudiannya menamatkan kontrak Haziq dan dia turut dipecat daripada PKR.