Pembinaan Malaysia Baharu harus berlandaskan dialog, bukan permusuhan


DAP adalah parti yang menolak sikap ekstremisme dan mengambil jalan tengah serta dialog dalam mencari penyelesaian berhubung sesuatu isu, tegas Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tulisan S Thayaparan di laman portal Malaysiakini yang mempersoalkan hasrat DAP mahu bertemu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri bagi menjelaskan tentang salah faham yang timbul berhubung DAP dan Islam.

“DAP, sebagai sebuah parti yang menolak ekstremisme dan sebuah parti yang menggalakkan sebuah Malaysia yang harmoni, di mana setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan ekonomi, boleh hidup bersama dalam kemakmuran; senantiasa bersedia untuk berusaha mencari jalan tengah, bagi mencairkan sebarang bentuk permusuhan dan kebencian – yang dikesali saban hari diapi-apikan oleh sesetengah pihak.

“Kami justeru itu bersedia untuk berdialog, sebagai cara untuk memperbetulkan persepsi salah terhadap parti, terutama dalam kalangan orang Melayu-Islam yang sejak sekian lama diracuni dengan fitnah berkenaan parti, bahawa kononnya kami anti-Islam dan anti-Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Dr Asri sebelum ini mendakwa kononnya Islam terancam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan menyalahkan DAP atas perkara itu.

Ia bercanggah dengan kenyataan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Seri Dr Harussani bin Haji Zakaria yang menegaskan bahawa kedudukan Islam terpelihara di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam satu kenyataan turut menepis dakwaan Dr Asri, sambil menegaskan bahawa telah banyak yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri dari DAP dalam memartabatkan syiar Islam.

Beliau turut menyatakan bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Dr Asri sudah bersetuju untuk berdialog mengenai perkara itu.


No comments: