Gerakan Reformasi berevolusi – Tian Chua
Selepas 20 tahun memperjuangkan “Reformasi”, PKR kini berevolusi daripada sebuah parti yang hanya menumpukan perjuangan membebaskan Anwar Ibrahim, kepada agenda untuk memperjuangkan hak, kebebasan dan reformasi institusi bagi seluruh rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chang .
Chua, yang merupakan salah seorang pengasas awal PKR, berkata kebanyakan orang melihat gerakan ‘reformasi’ pada tahun 1999 berkisar tentang Anwar, ketika bekas pemimpin Umno itu dinafikan haknya untuk menjadi perdana menteri selepas dipecat dari takhta kerajaan.
“Orang fokus kepada Anwar… Kerana hak Anwar untuk memimpin dinafikan bahkan dipenjarakan. Oleh itu, kita bersimpati dengan beliau. Jadi, agenda yang lebih besar tidak pernah dijangka.
“Fokus perjuangan adalah pembebasan Anwar, dan kemudian kami lancarkan demonstrasi,” katanya.
Chua berkata PKR meluaskan matlamat dan tujuan ia ditubuhkan, meneliti beberapa aspek masyarakat Malaysia di mana kebebasan rakyat dikekang sehingga ia menggesa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang zalim yang lain.
“Ia meluaskan isu pembaharuan (dalam negara). Peralihan kuasa, dan pilihan raya yang lebih adil.
“Reformasi akhirnya menjadi gerakan yang mahu melihat demokrasi berbilang parti wujud. Inilah progres yang terjadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anwar, yang menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas disabit dengan pertuduhan liwat yang kedua, akhirnya diberikan pengampunan diraja dan dibebaskan beberapa hari selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya berikutan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.
Ahli politik berusia 71 tahun itu kemudian memenangi kerusi Parlimen Port Dickson, dan dijangka menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Chua berkata PKR sentiasa menjadi parti berbilang kaum, dan menjadi pemangkin pembaharuan di negara ini.
“Saya bangga dalam dua dekad, kami dapat bangunkan parti yang dapat melaksanakan harapan (rakyat).
“Kami telah menjangkaui (pencapaian) daripada hanya sebuah parti yang berterusan mengadakan bantahan dan hanya memperjuangkan kebebasan Anwar. Sekarang kami diberi tanggungjawab untuk mengubah situasi dalam negara. “
Chua menggesa anggota baru parti itu untuk “tidak melupakan perjuangan masa lalu”, ketika PKR berada dalam kedudukan yang “selesa”.
“Orang baru dalam parti datang ketika kami sudah selesa, mereka merasa selesa. Peringatan untuk generasi baru supaya mereka sentiasa sedar dengan mandat rakyat dan tetap setia kepada rakyat,” katanya lagi.
20 tahun selepas pembentukannya, PKR kini menjadi parti yang memiliki jumlah ahli Parlimen terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), dengan jumlah keseluruhan 49 orang ahli di Dewan Rakyat. – TMI