Saya hadiahkan Rosmah sebuah Bentley, kata Deepak

Deepak Jaikishan mendakwa beliau menghabiskan kira-kira RM300 juta untuk menyogok Najib Razak, tetapi bekas perdana menteri itu menyifatkan dakwaannya ‘rekaan semata-mata’. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan yang memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, mengakui beliau menghadiahkan barangan mewah bernilai jutaan ringgit kepada pasangan itu demi mendapatkan kontrak kerajaan.
Deepak Jaikishan menerusi temubual dengan sebuah stesen penyiaran berita antarabangsa yang belum disiarkan mendakwa beliau memberi pasangan itu wang tunai, barang kemas, kereta mewah dan hartanah di Malaysia serta United Kingdom yang berjumlah hampir RM300 juta.
“Saya sudah diberikan pelbagai kontrak dan beliau menuntut beberapa ganjaran,” kata Deepak yang memfailkan saman RM656 juta terhadap Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor serta 2 yang lain baru-baru ini, atas dakwaan wujud campur tangan dalam perjanjian hartanah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.
Katanya, antara hadiah yang diberikan kepada Rosmah ialah sebuah kereta Bentley Flying Spur berharga hampir RM2 juta di Malaysia serta sebuah rumah di negara ini
Beliau turut menamakan 2 saudara pasangan itu yang nama mereka digunakan untuk mendaftarkan kereta dan rumah terbabit.
Deepak yang mendakwa mempunyai dokumen untuk membuktikan dakwaannya berkata, beliau “ditipu” sebanyak 2 kali dan aduannya diabaikan pihak berkuasa.
“Mereka tidak boleh buat apa-apa. Jika anda kenal Datin Rosmah, beliau boleh jadi sangat kejam, pegawai kanan kerajaan pun boleh dipecat.”
Katanya, satu daripada kontrak itu membabitkan penginapan pelajar tajaan kerajaan di luar negara.
“Kontrak itu bernilai RM4.5 bilion, tetapi ia dibatalkan,” katanya dalam rakaman wawancara yang dibocorkan dalam media sosial dan dilihat FMT.
Satu lagi kontrak dikaitkan dengan saman difailkannya pada 12 Oktober terhadap Najib, Rosmah, Boustead Holdings dan Bakti Wira Development Sdn Bhd, berhubung satu perjanjian hartanah yang didakwanya menyebabkan kerugian kepada syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd.
“Selepas membayar wang untuk tanah itu, ia dijual kepada syarikat lain. Saya buat laporan dan sekali lagi, tiada apa yang berlaku.”
Deepak berkata, beliau bukan satu-satunya mangsa ahli Parlimen Pekan itu kerana ada ramai ahli perniagaan sedia membuat pendedahan di mahkamah.

No comments: