BETULKAH NAMA TUN MAHATHIR DAN ANWAR TIDAK CUKUP KUAT?



Macam-macam cara dan macam-macam gaya untuk menang dan memperolehi undi.

Suatu ketika, dikontarkan kata-kata bahawa Rafizi Ramli bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR ialah untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak terhalang daripada jadi Perdana Menteri.

Kononnya, jika Azmin Ali yang terus memegang jawatan itu, maka akan kempunanlah Anwar kepada kerusi itu buat kali yang keduanya.

Namun, setelah memasuki episod pengundian, kita tidak pernah lagi mendengar sesiapa daripada kem Rafizi mendendangkan lagu kempen sebegitu.

Mungkin sudah beralih kepada kaedah kempen yang lain agaknya!

Yang nyata, Rafizi nampaknya sudah kalah kepada Azmin di dua negeri - Pulau Pinang dan Johor. 

Mungkinkah cara kempen beliau selama ini tidak begitu diterima?

Begitu pun, persaingan di negeri-negeri lain masih lagi terbuka dan masing-masing terus berebut memperolehi undi.

Tetapi, dalam mahu mengejar undi dan kemenangan seterusnya di negeri-negeri lain, terdengar pula nada kempen yang agak menjengkelkan  iaitu dengan mengatakan bahawa Azmin adalah faktor penting yang membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.

Kata yang tukang kempen iaitu Saifuddin Abdullah, Menteri Luar, nama Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim ketika PRU 14 belum cukup kuat untuk meyakinkan rakyat mengundi Pakatan Harapan.

Ketika itu, tambah beliau, nama Azminlah yang terpaksa dijual berdasarkan rekodnya dalam mentadbir Selangor.

"Masa nak menang pilihanraya kita jual nama dia, masa nak pilih Timbalan Presiden PKR, kita tak mahu...tak bolehlah," kata Saifuddin yang jelas berada berada di kem Azmin.

Wahh...ini sudah dikira "penemuan baru" - Azmin faktor penting Pakatan Harapan menang PRU14 kerana nama Tun Mahathir dan Anwar tidak cukup kuat untuk meyakinkan rakyat.

Bolehkah sesiapa setuju bahawa nama Tun Mahathir dan Anwar tidak cukup kuat untuk menang PRU14 lalu dan jika tanpa Azmin, Pakatan Harapan mungkin tidak mampu menumbangkan BN?

Adakah, setidak-tidaknya menurut tafsiran Saifuddin, nama Azmin seorang saja sebenarnya lebih kuat berbanding  gandingan Tun Mahathir dan Anwar?

Jika Tun Mahathir tidak berganding dengan Anwar pada PRU14 lalu, siapa agaknya yang memerintah negara ketika ini? (ShahbudinHusin 05/10/2018)

No comments: