Pakatan Harapan berjaya ubah sikap hegemoni Mahathir


Hegemoni yang menjadi amalan UMNO dan Barisan Nasional adalah faktor kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi seorang yang sangat berkuasa ketika menjadi Perdana Menteri.
Namun itu semua sudah berubah sejak beliau beralih arah dan menyertai gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Mahathir melalui perubahan yang sangat besar dalam HARAPAN.
“Beliau tidak boleh menjadi seorang ‘hegemon’ dalam gabungan HARAPAN tetapi menjadi seorang pembina konsensus, kerana HARAPAN adalah satu gabungan rakan setara,” kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya di Melaka, semalam.
HARAPAN jauh berbeza dengan Barisan Nasional yang diketuai UMNO, manakala 12 parti komponen yang lain hanya mengikut telunjuknya sahaja.
“Contohnya, adakah mana-mana parti komponen dalam BN berani membangkitkan skandal 1MDB, tidak kira di Parlimen, mesyuarat Kabinet atau Majlis Tertinggi BN?” soal beliau.
Kit Siang berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas menteri UMNO, Tan Sri Shahrir Samad ketika berbual dengannya di Parlimen.
“Dia (Shahrir) bertanya kalau saya akan menentangnya di kerusi Parlimen Johor Bahru.
“Bila saya kata bahawa itu kerusi PKR, dan bukan kerusi DAP, Shahrir berkata: “Apa DAP mahu, DAP dapat; apa DAP mahu, DAP ambil,” ujar beliau.
Namun jelas Kit Siang, dalam Malaysia ini cuma ada satu parti mempunyai mentaliti sedemikian iaitu UMNO.
“Sikap itulah yang menyebabkan hegemoni UMNO dalam Barisan Nasional, dan seterusnya menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara kleptokratik,” tambahnya.
Kit Siang terlebih dahulu menegaskan dalam ceramahnya bahawa Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan akan membuktikan ia lebih cekap dan mampu membela nasib orang Melayu, lebih baik daripada UMNO-BN.
“Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia.
“Melayu takkan hilang di dunia di mana Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dan membuktikan ia lebih berjaya, cekap dan mampu membela nasib dan kepentingan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban berbanding kerajaan UMNO-BN.”