PH pertikai kaji selidik rakyat lebih percayakan BN, Pas
Beberapa ahli politik Pakatan Harapan mempertikaikan laporan kaji selidik Merdeka Centre yang mendapati pengundi Melayu lebih mempercayai Barisan Nasional (BN) dan PAS berbanding Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana mereka perlu melihat bagaimana badan tinjauan itu menjalankan kaji selidik tersebut sebelum memperakui penemuannya.
Pengarah Strategi dan Dasar Datuk Rais Hussin berkata media tidak melaporkan bagaimana Merdeka Centrekaji menjalankan kaji selidik itu.
“Media tidak menunjukkan laporan bagaimana kaedah memperoleh data dan sebagainya,” kata Pengarah Strategi dan Dasar PPBM Datuk Rais Hussin kepada FMT.
“Kalau pengundian seluruh negara, apa sampelnya, bagaimana proses pensampelan dilakukan, bagaimana data diperoleh dan apa soalan yang ditanya,” katanya.
PPBM dilihat sebagai parti komponen PH yang paling mampu menyaingi Umno dalam merebut sokongan orang Melayu, di samping Amanah yang dilihat sebagai pesaing PAS. Dua lagi komponen, iaitu PKR dan DAP dilihat paling ampuh di kawasan-kawasan campuran di bandar-bandar.
Menurut Rais, kajian-kajian lain pula menunjukkan sokongan pengundi Melayu kepada BN semakin berkurangan dan “mereka yang menyokong PH semakin meningkat”.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Zin juga berkata pihaknya peru melihat soalan dan dapatan kaji selidik itu terlebih dahulu, kerana laporan Merdeka Centre sebelum ini pernah meleset.
Menurut Sim, badan tinjauan pernah menyatakan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi memperoleh 76% sokongan rakyat sebelum 2008.
“Bagaimanapun, Abdullah kalah di 5 negeri dan gagal memperoleh 2/3 majoriti (Parlimen) pada PRU 2008,” kata Sim.
Semalam, media melaporkan Merdeka Centre berkata kaji selidik mereka menunjukkan pengundi Melayu lebih mempercayai BN dan PAS dalam melindungi kepentingan politik orang Melayu-Islam dan Bumiputera.
Tinjauan yang dijalankan setahun lalu itu juga menunjukkan pengundi Melayu lebih khuatir tentang hak Melayu meliputi isu-isu tentang kedudukan Islam, peranan orang Melayu dalam arah ekonomi dan politik negara, dan bagaimana kemewahan ekonomi negara diagihkan kembali kepada mereka.
Merdeka Centre membentangkan penemuan mereka di forum “GE14: The polls, the money, the stakes” di ibu negara kelmarin. Tinjauan itu turut bertanyakan parti mana yang lebih dipercayai untuk menguruskan ekonomi negara, mengurangkan masalah rasuah dan melayan semua kaum secara adil.
Pengarah Program Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata tinjauan menunjukkan pengundi Melayu 2 kali lebih mungkin untuk menekankan kepentingan kelompok berbanding pengundi kaum lain.
Mengulas lanjut, Rais akui banyak yang perlu dilakukan oleh PH untuk mencetuskan tsunami Melayu pada pilihan raya umum ke-14.
“Dengan lebih banyak penglibatan konstruktif dan menjelaskan kepada rakyat di peringkat bawahan apa sebenarnya isu dan apa yang berlaku kepada negara kita,” katanya.
Sim pula berkata PKR mempertaruhkan gandingan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meyakinkan orang Melayu.
Anwar yang sedang menjalani hukuman 5 tahun di Penjara Sungai Buloh dijangka dibebaskan Jun ini.
“Kita mempunyai tokoh Dr Mahathir dan Anwar yang merupakan pemimpin dan pengurus ekonomi yang hebat di zaman ekonomi baik. Mereka ada ‘track record’ menjaga hak orang Melayu dan pelbagai bangsa.
“Saya nampak pengundi sudah cerdik dan tahu siapa lebih pandai mengurus ekonomi dan siapa yang boleh menjamin hak rakyat.”