Tun M boleh jadi PM sementara jika keadaan terdesak
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau boleh dicalonkan menjadi perdana menteri kerajaan sementara jika rakyat terdesak.
“Jika rakyat benar-benar terdesak dan tidak ada lagi orang lain (untuk jawatan itu), barangkali orang tua berusia 92 tahun ini boleh menjadi calon,” kata beliau ketika ditemui di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Bagaimanapun, pemukiman HARAPAN yang berlangsung dua minggu lalu tidak memutuskan sebarang kesimpulan mengenai calon PM kerajaan sementara.
“Mereka tidak mencalonkan saya lagi dan tidak ada keputusan dibuat semasa pemukiman itu,” kata mantan perdana menteri itu.
Ketika pemukiman dua hari pada 1 dan 2 Disember lalu, HARAPAN berbincang dan memutuskan untuk melantik Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri kerajaan sementara.
Namun, PKR mendakwa ini bukanlah keputusan rasmi dan parti itu akan terus membincangkan perkara tersebut.
Sementara itu, Mahathir berkata yang beliau telah berjumpa dengan peguam hak asasi manusia Amerika Syarikat, Kimberly Motley yang tiba di Malaysia semalam bagi mendesak kerajaan membebaskan anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya telah berjumpa dengannya, saya setuju dan akan menyokongnya,” kata Mahathir.
Ketua Setiausaha HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata, HARAPAN akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Motley merancang untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu