PH Perak dijangka menang majoriti mudah PRU 14 – Ir Nizar
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara negeri Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mengambilalih kerajaan Perak dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Katanya, sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat berdasarkan tinjuan sokongan yang dilakukan, PH akan menang majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri sebagaimana pada PRU 2008 lalu.
“Namun begitu, kami tidak akan leka. Kami perlu terus berusaha untuk meyakinkan lebih ramai pengundi di kampung-kampung untuk memilih Pakatan.
“Dan yang paling penting ialah dasar PH untuk membasmi gejala rasuah dan menurunkan kos sara hidup. Kami juga perlu meyakinkan pengundi dari masyarakat Melayu bahawa hak mereka akan terus dibela dan bukan diabaikan seperti yang didakwa oleh pihak lawan.
“Saya berpendapat pihak lawan akan terus cuba mempengaruhi masyarakat Melayu dengan menakutkan mereka tentang ‘kuasa DAP’ dalam PH seolah-olah DAP adalah parti yang paling berkuasa dan memberi arahan dalam gabungan. Inilah persepsi salah yang PH perlu tangani demi memperolehi sokongan padu daripada pengundi Melayu,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering itu kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran berkata, persiapan PH Perak semakin mantap dan pembahagian kerusi akan cuba diselesaikan pada penghujung Disember ini.
“Walaupun PRU14 diramalkan akan diadakan pada bulan April atau pun Mei tahun hadapan, kami tidak menolak kemungkinan ia mungkin akan diadakan pada awal bulan Februari.
“Oleh itu, pembahagiaan kerusi akan cuba diselesaikan di antara parti-parti komponen PH di seluruh Malaysia sebelum hujung bulan ini,” katanya.
Kulasegaran yakin rakyat Perak lebih bersedia membuat perubahan kali ini berbanding PRU 13 lalu. Katanya, hanya pengundi luar bandar yang menjadi masalah ketika sokongan ke atas PH meningkat dalam kalangan pengundi bandar.
“Dari bulan ini hinggalah ke tarikh mengundi, pihak BN tentu akan ‘menghentam’ PH dengan kuat sebagai sebuah koalisi yang lemah, tiada hala tuju serta berbagai tohmahan yang rasis dan tidak berasas.
“Tetapi berdasarkan senario ekonomi hari ini, ramai pengundi sudah bersedia memberi peluang kepada Pakatan sebab pada masa sekarang ramai orang yang hidup susah berbanding masa PRU13 dulu,” katanya lagi.