GELANG PATAH, 11 OKT: ‘Kuda satu helah’ – ini perumpamaan yang digunakan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bagi mengambarkan dua pemimpin Barisan Nasional (BN) dari Sabah.
Beliau merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut Kit Siang, kedua-dua pemimpin UMNO terbabit seperti kuda yang tidak tahu mempelajari helah baru apabila mengulangi propaganda lama yang terserlah kedangkalannya.
Rahman Dahlan dalam kenyataan sebelum ini mendakwa Kit Siang kononnya akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum akan datang.
Manakala Salleh dalam kenyataan pagi ini menggunakan nada yang serupa dengan menuduh Ahli Parlimen Gelang Patah itu kononnya adalah pemimpin de facto HARAPAN.
Selain perumpamaan ‘kuda satu helah’, Kit Siang turut mengelar mereka sebagai macai yang bertindak sebagai badut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Malah, kata Kit Siang, beliau bersedia untuk menjelaskan sebab di sebalik tindakannya menggunakan label berkenaan.
“Saya bersedia untuk membuktikan bahawa Salleh dan Abdul Rahman adalah macai, jika salah seorang daripada mereka bersedia untuk tampil dalam satu majlis terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.