Anti kleptokrasi: Penduduk luar bandar semakin faham skandal
Kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu perkataan kleptokrasi sebelum 6 Julai, dengan mungkin sesetengah berpendapat ia perkataan Latin yang ada kaitan dengan demokrasi.
Hanya selepas Dr Mahathir Mohamad dan sekutu baharunya dalam Pakatan Harapan (PH) menjelaskan apa maksud perkataan itu, dan kaitannya dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), maka mereka yang hadir jelajah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” tahu apa maknanya.
Ceramah itu bermula di Penaga, Pulau Pinang pada 6 Julai – kawasan yang dikawal Umno.
Bermula dari itu, PH menghabiskan masa tiga bulan memberi penjelasan kepada orang kampung dan bandar mengenai bagaimana wang didakwa dicuri daripada 1MDB digunakan untuk membeli aset mewah seperti hartanah, lukisan dan barang kemas.
The Malaysian Insight melawat Penaga semalam dan bercakap dengan pengundi yang datang pada malam pertama itu.
Mereka mengakui terkejut bila Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua memberi penjelasan mengenai kontroversi itu menggunakan slaid dan carta.
Ramai yang terpempan dengan betapa besarnya dakwaan kecurian itu dan mewahnya pembelian barangan yang didakwa menggunakan dana 1MDB.
Dan mereka yang ditemui semalam mengakui lebih memahami skandal itu sekarang.
“Saya tidak faham langsung tentang 1MDB atau apa maksud kleptokrasi sebelum ini. Semuanya nampak pelik.
“Mereka semua bercakap tentang duit yang banyak, berbilion. Orang biasa macam saya tidak boleh bayangkan duit sebanyak itu,” kata suri rumah, Siti Haida Othman.
Siti Haida, 43, berkata ceramah itu membawa kesan besar kepada kebanyakan penonton, terutama jika mereka berminat dengan politik, seperti dirinya.
Ramai orang pada malam itu orang kampung, yang buat kerja biasa di kampung ini dan nelayan.
“Slaid yang ditunjukkan bagaimana duit dibawa dari satu tempat ke tempat lain dan akhirnya ke dalam poket orang tertentu menjadikan ia lebih mudah difahami. Banyak yang saya pelajari.
“Sekurang-kurangnya daripada pembentangan itu, anda boleh tahu yang Pua buat kajian untuk menyampaikan maklumat. Dia ada benda untuk ditunjukkan, bukan cakap saja. Jadi ia amat meyakinkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Siti Haida turut pergi tiga hingga empat ceramah lagi mengenai topik itu untuk tahu lebih lanjut. Dia juga akan ke himpunan di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini, acara penutup jelajah kleptokrasi itu selepas tiga bulan.
Katanya, dia berkongsi pengetahuannya daripada ceramah itu dengan ahli keluarga, yang kebanyakannya penyokong Umno.
“Lepas tahu apa yang berlaku, saya rasa marah. Orang yang tidak tahu tidak akan rasa marah.
“Jadi saya beritahu ahli keluarga saya tentang skandal itu dan kenapa kita semua kena bayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan berdepan kenaikan kos sara hidup.
“Tetapi abang saya fikir GST itu bagus. Dia fikir kerajaan sekarang kumpul duit untuk bayar hutang yang dibuat pentadbiran dulu di bawah bekas perdana menteri,” katanya.
Siti Haida berkata keluarganya, termasuk mentua di penempatan Felda tidak terdedah dengan media alternatif dan mereka tidak tahu Internet.
Mereka peroleh maklumat daripada media aliran perdana seperti TV1, TV2 dan TV3 yang hanya memaklumkan apa kerajaan buat sekarang.
“Sebab itu penting untuk pergi ke ceramah untuk dapatkan maklumat,” katanya.
Katanya, ramai orang mendapat maklumat lebih tepat mengenai isu yang melanda negara tetapi ada yang takut menyuarakan kemarahan mereka secara terbuka.
“Bila saya berbual dengan orang seperti guru, mereka tahu apa yang berlaku dan marah tetapi takut hendak bersuara. Saya tidak tahu adakah mereka akan luahkan rasa marah itu menerusi undi,” katanya.
Penduduk Nibong Tebal Suhana Saad, 42, yang turut hadir pada ceramah pertama di Penaga, senada dengan pandangan Siti Haida.
Katanya, slaid yang dibentangkan oleh Pua sangat memberi maklumat dan dia turut mengambil gambar slaid itu dengan telefon pintarnya untuk berkongsi dengan rakan lain.
“Saya jadi minat dengan isu itu sejak ceramah di Penaga. Bila saya lihat poster di Facebook beritahu tentang ceramah di Pulau Pinang, saya rasa saya mesti pergi.
“Saya pergi di Sungai Acheh berhampiran kawasan saya, Balik Pulau dan Kulim. Bulan lalu saya pergi ke Kuala Lumpur, ada seorang kawan ajak ke sana. Saya juga akan ke himpunan di PJ hari ini,” kata suri rumah itu.
Pegawai Penerangan Pulau Pinang Zaidi Ahmad yang juga ada pada ceramah di Penaga, berkata orang ramai mula sedar tentang isu 1MDB.
“Orang awam kini sedar ada benda yang tidak kena, pemimpin kerajaan tidak memberikan mereka gambaran sebenar,” katanya.
Zaidi, yang turut menyampaikan ceramah di Sungai Dua, Tasek Gelugor pada Ogos, berkata daripada pengalamannya, dia tahu pemimpin BN tidak akan memberikan jawapan penuh mengenai 1MDB.
Katanya, dia baru-baru ini dicabar oleh penyokong Umno untuk hadir program Umno dan ditanya mengenai kontroversi 1MDB.
“Saya sahut cabaran itu dan pergi ke dua dialog Umno di Pulau Pinang minggu lalu dan minta Ketua Penerangan Umno Annuar Musa untuk jelaskan.
“Jika anda kaji jawapannya di dialog itu, dia tidak pernah jawab pun sebenarnya. Dia tidak pernah benar-benar menjawab soalan mengapa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman untuk merampas aset yang dikatakan dibeli guna wang 1MDB,” katanya.
Ketua Penerangan Bersatu Pulau Pinang Yaakob Osman yang berucap pada ceramah pertama di Penaga berkata dia perasan “minat yang tulen” dalam kalangan orang Melayu di kawasan kampung untuk tahu tentang 1MDB dan “kerajaan kleptokrasi”.
Katanya, ia jelas dapat dilihat daripada jumlah khalayak yang semakin bertambah sejak ceramah di Penaga.
“Bila kita adakan ceramah di Sungai Acheh, kawasan Umno, orang yang datang hampir 1,000. Bila jelajah itu tiba di Perak, Melaka dan Selangor, orang semakin ramai.
“Rakyat benar-benar mahu tahu tentang skandal itu. Ramai boleh kaitkan ia dengan keadaan betapa sukarnya ekonomi sekarang seperti kos sara hidu dengan 1MDB dan bagaimana kerajaan mentadbir negara ini,” katanya.
Yaakob berkata apa yang rakyat mahukan ialah perubahan.
“Itu yang saya dengar bila bergaul dengan orang ramai. Mereka letak harapan yang tinggi untuk PH mengubah keadaan sekarang dan membawa negara maju ke depan,” katanya.
PH menyasarkan 100,000 orang akan datang ke himpunan mega di Petaling Jaya yang akan berlangsung bermula jam 4 petang hari in