Peniaga kurangkan stok, GST mungkin naik 8%?
Menjelang pilihan raya umum ke 14 yang tarikh akhirnya mesti dilaksanakan sebelum Ogos 2017, banyak peniaga yang mula mengurangkan stok barang atau tidak mengambil stok secara banyak.
Penganalisis ekonomi, Albert Kwok berkata, kawalan harga terhadap barang-barang keperluan asas yang gagal dilakukan oleh kerajaan pusat menunjukkan kedudukan kewangan negara tidak kukuh dan peniaga menjangkakan tidak mustahil Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dinaikkan untuk menutup jurang defisit negara.
“Ramai usahawan menjangkakan kadar GST akan naik kepada 8% ataupun 9% pada awal tahun hadapan (sekiranya PRU pada 2017).
“Oleh yang demikian banyak perniagaan kecil dan sederhana seperti kedai menjual barangan logam, kedai membaiki kereta, kedai menjual alat tulis tidak membeli banyak stok pada masa ini kerana mereka menjangka ada yang akan menutup perniagaan sekiranya GST dinaikkan kelak,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Albert juga berpendapat, oleh kerana kerajaan pusat amat memerlukan wang cukai rakyat maka PRU berkemungkinan besar akan diadakan tahun ini, selewat-lewatnya pada hujung November.
“Sudah dapat dibuktikan bahawa harga sayur, ikan, daging dan harga semua jenis barang keperluan harian dan keperluan biasa di pasar raya telah mengalami peningkatan harga sebanyak 50 sen atau pun lebih.
“Kerajaan pusat mengalami kekangan kewangan yang teruk. Saya harap rakyat biasa tidak akan mengundi BN walaupun dijanjikan bermacam-macam dalam Belanjawan 2018 nanti,” sinis Albert.