Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad, bertegas tidak wujud soal mana-mana parti komponen DAP, Amanah dan PKR menjadi “khadam” kepada parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sama seperti mana yang didakwa sesetengah pihak
PH menggunakan prinsip “hujah yang tepat dan baik” dalam setiap perbincangan yang dilakukan bagi mencapai kata sepakat secara bersama.
“Dalam PH tidak ada mana-mana parti yang menjadi ‘bos’.
“Dalam PH yang berkuasa adalah hujah yang paling baik dan yang paling tepat.
“Dan semua (parti komponen PH) akan mengalah apabila mendengar hujah yang baik dan tepat, walaupun dari mana ia datang,” katanya dalam siri ceramah umum PH, semalam seperti dilaporkan Roketkini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, prinsip berkenaan sudah pun digunakan ketika berlakunya pertikaian dalam meletakkan calon PH di Parlimen Sungai Besar.
Ketika hari penamaan calon semakin hampir, katanya, PKR masih mahu terus berunding dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, Amanah akur dengan keputusan itu.
Akhirnya, PKR pula terpaksa akur dengan keputusan Amanah yang bertegas mahu untuk meletakkan calon di sini, selepas rundingan PKR-PAS menemui kegagalan, tambahnya.
“Satu lagi contoh, DAP. Parti DAP cadangkan Mohamad Sabu, kemudian kami berbincang.
“Selepas perbincangan panjang, akhirnya, keputusannya kita letak Ustaz Azhar, anak tempatan, orang yang ada kebolehan, yang mempunyai potensi, yang boleh bersuara di Parlimen bagi warga Sungai Besar.
“DAP pun akur dengan keputusan itu. kalau kata DAP ‘taiko’ dalam PH, kehendak dia kita kena ikut, tapi tidak (terjadi dalam hal itu),” ujarnya.
Ceramah berkenaan turut disertai Calon PH bagi Parlimen Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan pemimpin PH yang lain.