Rafizi dedah individu rapat dengan Pengerusi SPR pembekal dakwat

Rafizi dedah individu rapat dengan Pengerusi SPR pembekal dakwat

(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 16 JULAI: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan, individu yang memperoleh kontrak rundingan terus untuk membekalkan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu merupakan individu yang rapat dengan pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Individu tersebut dinamakan sebagai Mohamed Salleh Mohamed Ali dan berasal dari Singapura dan mempunyai tiga syarikat yang memperoleh pelbagai kontrak kerajaan tanpa melalui sebarang proses tender terbuka.

Dakwat_kekal“Ada tiga syarikat yang dikawal Salleh dalam rundingan terus dengan kerajaan termasuk sebuah syarikat bernama Integrated Challenger (M) Sdn Bhd,” dedah Pengarah Strategi KEADILAN itu dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Selain daripada itu, ada dua lagi syarikat yang masuk dalam rundingan terus dan dikawal Salleh tetapi didaftarkan di bawah nama pekerja-pekerjanya termasuk kerani syarikat beliau yang bernama Norsiah Yusof yang juga menjadi Ahli Pengarah syarikat-syarikat tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, syarikat-syarikat yang dikawal Salleh banyak terlibat dengan kontrak pembekalan kerajaan bukan sahaja melalui dakwat kekal malah pernah mendapat kontrak dari Kementerian Pertahanan.
“Salleh memperoleh kontrak dari Kementerian Pertahanan melalui syarikat beliau yang satu lagi iaitu Allison Corp Sdn Bhd,” katanya.


“Ini bermakna Salleh adalah pakar rundingan terus dengan kerajaan, kerana semua kontrak rundingan terus yang diperolehinya sebab beliau dikatakan rapat dengan pemimpin kerajaan termasuk Pengerusi serta Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya lagi.


Justeru, Rafizi menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan bagi mengurangkan rundingan terus yang merugikan peniaga lain serta wang rakyat.
“Kita juga mahu tahu apa status siasatan SPR terhadap pembelian dakwat, kemeja-T dan topi seperti yang termasuk dalam Belanjawan Tambahan,” katanya.


No comments: