Undurkan Taib Mahmud atau mansuh SPRM
KUALA LUMPUR 6 Mac: Perdana menteri patut menggesa Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur kerana enggan memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat penyalahgunaan lesen pembalakan anggota keluarga ketua menteri Sarawak itu.Jika tidak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Datuk Seri Najib Razak lebih baik memansuhkan sahaja suruhanjaya itu kerana gagal menjalankan tugasnya.
“Bukan sahaja tidak bekerjasama dan menjawab dakwaan itu, Taib sebaliknya pilih menyerang SPRM,”
“Jika Taib tidak berundur, Najib patut mansuhkan sahaja SPRM, ekoran SPRM bukan ditubuhkan untuk menentang rasuah tetapi melindungi rasuah,” kata Lim dalam kenyataannya.
Taib pada Khamis lalu berkata, beliau “tidak akan bekerjasama” dengan SPRM berhubung satu video yang didedah NGO antarabangsa, Global Witness.
Rakaman video itu Mac lalu membongkar skandal pembalakan melibatkan keluarganya yang merampas tanah pedalaman didiami rakyat miskin Sarawak.
Berkongsi pendapat sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut meminta Najib membubarkan SPRM jika tidak berani mengambil tindakan.
“Adakah Najib lebih mementingkan 27 kerusi Parlimen di Sarawak sehingga Taib Mahmud tidak boleh disentuh? Bukankah seorang PM itu bersumpah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.
Di bawah Seksyen 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan untuk bekerjasama dengan SPRM boleh dihukum denda maksima RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua pula berkata, Taib cuba mengatasi undang-undang hingga Najib tidak mampu berbuat apa-apa terhadapnya.
“Tindakan transformasi Najib untuk membanteras rasuah juga adalah satu lakonan semata-mata,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.
SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan siasatan dijalankan ke atas video tersebut yang antara lain merakam percakapan ahli keluarga Taib dan rakan perniagaannya yang menyalahgunakan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri.
SPRM dilapor turut menjalankan serbuan ke atas pejabat seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu.