Memisahkan kuasa dari UMNO seperti memisahkan kulit dengan daging-ASPAN ALIAS
Perhimpunan Agung UMNO kali ini
merupakan perhimpunan yang paling penting bagi UMNO kerana perhimpunan itu adalah
perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya ini. Perhimpunan kali ini menampakkan
yang UMNO begitu tertekan dengan ucapan yang bergegar-gegar yang melambangkan perasaan
kurang kepastian untuk mempertahankan kuasa yang ada kepada mereka itu..
Berbagai isu yang dilemparkan
kepada pembangkang dengan kuat tetapi isu-isu itu jugalah isu yang pembangkang
lemparkan kepada BN khususnya UMNO selama ini. UMNO nampaknya tidak tenang
menghadapi cabaran demokrasi. UMNO membidas pembangkang seolah-olah penawaran
pimpinan gantian di Putrajaya itu seperti melakukan jenayah, sedangkan negara
ini memberikan peluang kepada mana-mana parti untuk menjadi kerajaan.Itu sebab
diadakan pilihanraya setiap lima
tahun sekali.
Seperti biasa UMNO menekankan
yang UMNO adalah parti yang berpengalaman. Kerajaan tidak perlu ditukar kerana
UMNO telah membangunkan negara ini dari sebuah negara miskin kepada sebuah
negara yang berpendapatan sederhana dan bakal menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti. Bagi UMNO apabila negara itu maju
maka rakyat tidak payah menukar kerajaan lagi kerana kononnya rakyat akan
menghadapi risiko yang tinggi jika kerajaan gantian itu tidak mampu melakukan
apa yang BN telah lakukan.
Tetapi dalam pada itu Najib
menjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh tetapi hanya mengambil kemenangan
Obama yang kekal menjadi Presiden buat penggal kedua itu sahaja. Najib patut
mengambil iktibar dan rakyat mesti memahami yang politik ini adalah berdasarkan
kepada keadaan sekarang dan masa depan rakyat dan negara. Rakyat AS
telah menukar kerajaan puluhan kali walaupun negara itu adalah negara maju.
Jika inilah alasan Najib untuk rakyat negara ini tidak boleh menukar kerajaan
dan elok di batalkan sahaja pendaftaran parti-parti yang lain dari BN di negara
ini.
Dalam pada itu kita telah nampak
sikap ahli-ahli Parlimen BN pada hari ini kerana tidak hadir dalam persidangan
hari ini kerana menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO. Mereka
(ahli-ahli Parlimen BN) tidak bertanggungjawab kerana perhimpunan agung UMNO
itu sepatutnya di hadiri oleh mereka yang menjadi perwakilan sahaja sedangkan
ramai dari MP-MP BN itu bukan pun ahli-ahli UMNO atau perwakilan ke perhimpunan
itu.
Berbalik kepada Perhimpunan Agung
UMNO yang kita jelas terlihat ialah perasaan gusar dan takut jika rakyat mengalihkan
sokongan mereka kepada pembangkang. Apa yang Najib gagal memahami ialah orang
Melayu sekarang mahukan perpaduan Melayu dan kali ini berpadu di luar UMNO.
Tetapi apa yang Najib mahukan orang Melayu ini tunduk dan menjadi bangsa yang
‘subservient’ kepada parti. Sepatutnya parti-parti politik lah yang patut
‘subservient’ kepada rakyat dan ahli-ahlinya.
Najib masih memaparkan politik
memenjara pemikiran orang Melayu seolah-olah orang Melayu tidak boleh memandang
parti lain dan apa yang orang Melayu patut lakukan ialah untuk sentiasa
mengangguk dan mengikut sahaja apa yang UMNO mahukan walaupun rasuah yang
terlampau yang pimpinan UMNO itu sudah tidak terkawal lagi. Negara kita adalah
sebuah negara yang terlalu deras menuju kehancuran kerana rasuah yang sudah
tidak terkawal kerana hampir kesemua pimpinan, terutamanya dalam kerajaan itu
terlibat dalam kegiatan hina itu.
Pengakhir kata Najib dalam ucapan
beliau tadi, beliau telah memohon maaf di atas segala kesalahan yang UMNO dan
pimpinannya telah lakukan. Tidak pula beliau mengulas apa kesalahan-kesalahan
yang UMNO dan beliau lakukan. Beliau meminta rakyat memaafkan UMNO dan kepimpinan parti di atas segala
kesalahan.
Najib tidak pula meminta maaf di
atas semua salah laku rasuah yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Jika rasuah
adalah salah satu dari kesalahannya dan meminta rakyat memaafkannya ia
sepatutnya pimpinan UMNO melakukan tindakan yang berani dan berjanji
memulangkan kembali wang rakyat yang telah di bawa lari dari perbendahaaraan
negara secara sistematik selama ini. Sementara memulangkan kembali harta rakyat
yang di larikan itu UMNO sepatutnya berehat dan melakukan ‘soul searching’ yang
intensif terhadap diri mereka.
Kalaulah ini dilakukan ia boleh
menyejukkan hati rakyat yang sayangkan negara. Misalnya jika keluarga Dr
Mahathir boleh memulangkan kembali wang rakyat yang hampir RM2 billion yang digunakan
oleh anaknya untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dahulu ada juga lah
nampak keinginan untuk bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat. Semasa Lemahn
Bros di AS menggunakan wang kerajaan semasa kejatuhan ekonomi dunia dahulu,
sekarang syarikat gergasi itu sedang beransur-ansur memulangkan kembali semua
wang rakyat yang di gunakan untuk ‘bailout’ syarikat itu dahulu. Sudah sampai
masanya Mirzan Mahathir mengembalikan kembali wang rakyat yang di gunakan itu
seperti apa yang dilakukan oleh Lemahn Bros itu.
Apa lagi kesalahan yang
dimaksudkan oleh Najib yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO itu. Adakah isu
komisyen Scorpene yang melibatkan ratusan juta itu salah satu dari kesalahan
yang Najib memohon maaf? Bolehlah rakyat maafkan, tetapi pulangkanlah balik
wang sejumlah itu kepada rakyat.
Boleh kah Najib menggunakan
pengaruh beliau untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan untuk melayakkan
beliau mendapat kemaafan? Ada
lebih dari RM 7 billion wang royalti yang sepatutnya di bayar kepada rakyat
Kelantan. Itu merupakan kesalahan yang sangat besar terhadap rakyat negeri
Kelantan yang mana 98% rakyat terdiri dari orang Melayu.
Inilah di antara ratusan isu yang
sengaja dilakukan oleh pimpinan kita dan jika mereka mahukan kemaafan adalah
elok UMNO duduk di kerusi pembangkang dan memperbaiki diri dan kembali
mendapatkan mandat dalam pilihanraya yang akan datang jika rakyat bersetuju.
Kalau lah BN mendapat kemaafan
dengan segala kejahatan rasuah yang mereka lakukan, maka BN akan terus
melakukannya setelah mendapat kuasa nanti.
UMNO akan kembali meminta maaf dalam pilihan raya yang selepas PRU ini
dan rakyat memberikan kemaafan lagi. Jika ini keadaannya maka BN akan lebih
bebas melakukan kerja hina yang sudah menjadi kerja biasa dan ‘normal’ bagi parti yang sudah lusuh
ini.
Belum kita lihat sikap UMNO yang
percaya kuasa hanya untuk mereka sedangkan itu adalah kuasa rakyat yang akan
memberikan ketentuan siapa yang patut mentadbir kali ini. Tetapi pimpinan UMNO
ini tidak mahu menerima yang partinya sudah lemah. Usaha UMNO untuk bertahan
sudah terlalu kotor perlakuannya. Untuk memisahkan kuasa dari mereka (UMNO)
tidak ubah seperti memisahkan daging dengan kulit.
Apabila mereka (UMNO) terfikir
sahaja tentang kehilangan kuasa mereka menjadi separuh gila, sedangkan
peralihan dan giliran kuasa itu adalah perkara lazim dalam demokrasi.
Sesungguhnya UMNO lah yang gila kuasa sehinggakan mereka dan pimpinannya
berkata mereka akan bertahan walau dengan cara apa sekali pun. Padahal kita
bukan hendak memisahkan nyawa dari tubuh mereka. Kita hanya hendak melaksanakan
demokrasi mengikut sistemnya yang ada dengan cara terbuka.
Kepada Najib beliau tidak payah
bercakap seperti halilintar memecah bumi kerana berucap secara itu sudah
ketinggalan zaman. Zaman sekarang rakyat mahu melihat ‘content’ bukannya gaya berucap. Ia akan
hanya menampakkan kelemahannya lebih jelas dari yang sudah jelas kita lihat
selama ini.
Kata perpatah, ‘patah tumbuh
hilang berganti’ Rakyat bukan saja-saja hendak mematahkan, tetapi rakyat mahu
mematah atau mencatas pokok itu untuk ia bercambah dan rimbun daunnya serta
lebat buahnya.
Kalau hendak sangat berucap
bergegar-gegar itu, eloklah berbahas secara terbuka dengan Ketua Pembangkang.
Ini tidak…bercakap bergegar-gegar seorang diri. Kalau bercakap bergegar-gegar
tetapi tidak memberi mana-mana pihak menjawabnya orang itu adalah pemimpin yang
lemah dan tidak berketerampilan sebagai pemimpin sebenar.