SPRM Didesak Siasat Pengerusi Eksekutif NFC Atas Cubaan Rasuah

PETALING JAYA , 4 JAN : "Datuk" yang ditangkap di dalam skandal National Feedlot Corporation adalah sebenarnya orang tengah yang diupah pengerusi syarikat itu untuk meffcmberi wang suapan kepada pengawai polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

Pengarah Strategi Keadilan Mohd Rafizi Ramli mendakwa wang sejumlah RM1.755 juta itu dibekalkan oleh Mohamad Salleh, yang juga suami seorang Menteri Kabinet, kepada Datuk Shamsubahrin Ismail untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.

"Saya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sejumlah RM1.755 juta.

"Keadilan mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.

"Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail," katanya dalam sidang media.

Menurut Rafizi, Shamsubahrin ditugaskan untuk menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.

Skandal NFC mendapat perhatian umum apabila laporan Ketua Audit Negara mengatakan ia gagal mencapai sasaran pengeluaran daging yang sepatutnya meskipun menelan RM250 juta duit rakyat.

Kontroversi NFC menjadi lebih hebat apabila didedahkan bahawa projek itu dikurniakan kepada suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Shamsubahrin telah dituduh di bawah seksyen 420 Kanun Jenayah kerana menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan.

Rafizi turut melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap pihak berkuasa yang masih mahu terus melindungi Mohamad Salleh dan keluarga Shahrizat walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan di dalam NFC.

"Tindakan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar.

"Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya," Rafizi berkata.

No comments: