AMK: Adam Adli, Simbol Hapus PTPTN, Mansuh AUKU

SHAH ALAM, 10 JAN: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia akan terus mempertahan pendirian Adam Adli Abd Halim yang telah dijatuhi hukuman penggantungan selama tiga semesta oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.


Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dalam kenyataan medianya berkata pihaknya Adam Adli telah dibicarakan melaui keputusan politik.

"Kami menyeru Anak Muda dan Mahasiswa menyambut semboyan kebangkitan rakyat menuntut perubahan dan keadilan. Malaysia bakal berhadapan dengan Pilihanraya Umum, satu wadah demokrasi untuk menumbangkan kerajaan BN-UMNO yang rakus dan angkuh.

"Pakatan Rakyat melalui muafakat Buku Jingga dan AMK Malaysia melalui Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia meletakkan komitmen untuk memberi ruang kepada mahasiswa di dalam membina Negara bangsa.

"Usaha memansuhkan AUKU dan akta-akta lain yang menyekat serta merubah sistem pembiayaan pengajian tinggi termasuk menghapuskan PTPTN sebagai tawaran AMK dan Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia," ujar beliau

Berhubung pengantungan Adam Adli, beliau berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai saluran bagi membantu pelajar terbabit.

"Mendepani isu penggantungan Adam Adli, pihak biro Mahasiswa bersama Peguam Untuk Kebebasan (Lawyers For Liberty) secara serius membantu dan meneliti langkah yang wajar diambil. Bersama-sama Adam Adli dan seluruh gerakan mahasiswa, Biro Mahasiswa Angkatan Muda keadilan akan terus menyokong gerakan menuntut perubahan yang diterajui Mahasiswa.'kata beliau.

Penggantungan Adam Adli, pelajar tahun ketiga jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda itu berkuatkuasa serta merta.

Pelajar 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan semalam atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember lalu.

Adam mencetuskan kegemparan apabila beliau menurunkan bendera yang tertera gambar Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan kain rentang pro-pelajar.