Karpal Mahu Panggil Semula Farah Azlina

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyaksikan penggulungan hujah daripada peguam kedua-dua belah pihak dalam kes perbicaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Peguambela Anwar, Karpal Singh dalam penggulungan mahu bekas timbalan pendakwa Farah Azlina dan Saiful Bukhari dipanggil semula memberi keterangan di mahkamah bagi memastikan perbicaraan berlangsung dengan adil.

"Mahkamah ini perlu ditangguhkan untuk membolehkan PW1 dipanggil semula dan Farah Azlina juga dipanggil di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan untuk memastikan keputusan yang adil untuk kes ini," kata Karpal.

Menurut Karpal, mereka perlu dipanggil kerana sehingga kini kedua-duanya belum menafikan hubungan di antara mereka berdua.

"Peguam Negara hanya menjelaskan kedudukan Farah Azlina pada 11 November 2011 selepas peguam bela menamatkan hujah pada 18 Oktober 2011," kata Karpal.

Mengulas lanjut, hubungan di antara Farah dan Saiful dilihat mempunyai potensi bagi membolehkan Saiful mendapatkan akses kepada kertas pendakwaan.

Justeru, Saiful mungkin mengubah keterangan beliau sepanjang perbicaraan berdasarkan kertas pendakwaan, jelas beliau lagi.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah menyatakan antara isu yang terkandung dalam sesi penggulungan adalah kenyataan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang disifatkan sebagai menghina mahkamah.

"Sepanjang perbicaraan peguam sudah memberikan cukup bukti. Dalam perbicaraan hari ini, isu pertama Karpal telah menyuarakan isu menghina kes ini di Perhimpunan Agung Umno. Keadaan yang berat sebelah dimana Perdana Menteri boleh mempengaruhi rakyat dalam ucapannya," katanya.

Anwar yang tiba pada jam 11.45 pagi bersama isteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sambil disambut dengan laungan 'Reformasi' dan 'Hancur Umno' oleh para penyokong.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008 dan dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Mahkamah ditangguhkan dan bakal disambung semula pada jam 2.00 petang.