Kerajaan Selangor Sanggup Menjayakan Kegagalan Kerajaan Persekutuan

SHAH ALAM, 10 NOV : Kerajaan Negeri Selangor bersedia menyelamatkan Projek Fidlot Kebangsaan milik Kerajaan Persekutuan daripada ianya terus gagal diuruskan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Yaakob Sapari berkata sekurang-kurangnya 300 penternak diserata Selangor sudah bersedia menyertai projek ternakan lembu tersebut jika diberi laluan oleh Kementerian Pertanian.

"Saya juga akan bekerjasama dengan Persatuan Penternak Negeri Sembilan dan Melaka yang mempunyai kekangan tanah untuk penternakan dimana kita sama-sama akan mengendalikan ladang Fidlot.

"Kita sudah bersedia, bila-bila masa sahaja jika diberi laluan kita akan masuk," Yaakob berkata demikian dalam satu sidang media khas di lobi Dewan Annex, di sini hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian hari ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata projek Fidlot tidak gagal seperti yang didakwa pembangkang.

Selain itu, Noh juga turut mencabar mana-mana pemimpin PKR agar mengendalikan projek berkenaan dan bukannya hanya menghentam projek Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, pada 31 Oktober lalu, Noh menerusi sidang media di lobi Dewan Rakyat berkata bahawa pinjaman berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) belum disalurkan sepenuhnya.

Namun, pada 1 November, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat 31 Julai 2011, RM181.9 juta daripada geran telah disalurkan kepada NFC.

Mengulas lanjut, Yaakob berkata sekirannya Kerajaan Persekutuan serius dengan cabarannya, baki peruntukkan projek Fidlot itu seharusnya disalurkan kepada pihaknya untuk meneruskan usaha ini.

"Kita akan buktikan, kita akan berjaya mengendalikan projek ini kerana kita akan serahkan tanggungjawab ini kepada mereka yang sedia maklum dengan pengurusan terbakan lembu, berbanding apa yang berlaku sekarang, ianya diserahkan kepada mereka yang tidak ada pengetahuan.

"Malang sekali kepada kerajaan Persekutuan kerana miliki seorang menteri pertanian yang tidak tahu pertanian," katanya.

No comments: