KUALA LUMPUR 12 JULAI : Amnesty International mendesak Britain memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu yang memperlihatkan tindakan keras pihak berkuasa ke atas peserta himpunan.
Menurut Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest, selain menahan peserta perhimpunan, pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka.
Malah Guest menambah, ramai peserta himpunan yang telah dikasari.
“Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat.
“Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan,” katanya.
Oleh itu kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.
Najib memulakan lawatan rasmi sulung ke Britain sejak menjadi perdana menteri hari ini.
“Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia.
“David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima,” katanya.
Selain itu, kata Guest, beliau juga berharap Vatican dapat memberi tekanan kepada Najib supaya menghormati hak asasi manusia ketika pemimpin nombor satu Malaysia itu melawat ke Rom minggu ini.
“Kerajaan Perdana Menteri Najib telah bertindak ke atas ribuan rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk berkumpul secarta aman.
“Keganasan yang dilakukan pihak berkuasa bertentangan dengan hak asasi manusia dan ia tidak boled dibiarkan. Mana-mana perhimpunan selepas ini patut dibenarkan dan pihak berkuasa harus menghormatinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru tegas Guest, pihaknya menuntut pentadbiran Najib menyiasat kegagalan pihak keselamatan memberi bantuan segera kepada Baharuddin sebelum dia menemui meninggal dunia.
“Ia termasuk dakwaan mengatakan ambulans tiba di tempat kejadian satu setengah jam selepas Baharuddin jatuh pengsan,” katanya.
Pada perhimpunan Bersih 2.0, 1,667 telah ditahan termasuk pimpinan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.
“Penggunaan keganasan oleh pihak keselamatan secara berlebihan ini sepatutnya tidak perlu kerana ia akan menakutkan rakyat,” kata Guest lagi.