KUALA LUMPUR 6 JULAI : Penganjur Bersih 2.0 mahu mengadakan perhimpunan aman itu di Stadium Merdeka pada Sabtu ini sebelum menyerahkan memorandum kepada Istana Negara untuk penambahbaikan proses pilihan raya.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengatasi kepincangan dalam sistem pilihanraya serta pembebasan lebih 100 orang yang ditangkap oleh polis, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat.
Ambiga berkata beliau sudah memohon untuk berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan persetujuan untuk mengadakan perhimpunan itu di Stadium Merdeka yang boleh menampung 50,000 orang.
Semalam, Bersih 2.0 bersetuju untuk membatalkan perarakan ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum itu setelah menerima nasihat Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Ambiga merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Tuanku Mizan kerana perkenan menemui rombongan Bersih semalam ‘untuk mendengar daripada pihak kami.”
Beliau menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu.
Lebih 150 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap kerana memiliki dan memakai baju BERSIH.
Malah enam penyokong Bersih termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jeyakumar ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana di dakwa kononnya terbabit dengan gejala subversif.
“Semua pihak wajar berundur dan memberi keutamaan untuk membebaskan semua yang ditangkap sebelum ini,” kata Ambiga.
Dalam pada itu beliau melahirkan kesediaan bertemu Pemuda Umno berhubung isu tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini.
“Kami bersedia untuk berbincang dengan Pemuda Umno. Mereka juga dialu-alukan menyertai kami pada Sabtu ini,” kata Ambiga .
Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu sebelum ini dtuduh oleh Umno sebagai mendokong Pakatan Rakyat.
Ahli jawatankuasa pemandu Wong Chin Huat berkata, hakikat adalah tiada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sanggup untuk menyokong gerakan itu dalam menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.