eh...MAIN PINDAH-PINDAH MACAM MAIN MASAK-MASAK LA PULAK......

G. Manimaran

HULU SELANGOR, 22 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan jumlah pengundi yang terlibat dalam pemindahan pusat mengundi cuma dalam lingkungan 10,000 orang tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, bilangan itu mencecah hampir 15,000 orang dan terus meningkat dari sehari ke sehari.

“Tak benar, ia cuma kira-kira 10,000 orang,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, pengundi-pengundi berkenaan dipindahkan ke pusat pengundian yang baru diwujudkan demi keselesaan pengundi sendiri.

“Pemindahan hanya melibatkan daerah mengundi sahaja, tidak melibatkan pemindahan ke daerah mengundi yang lain... yang sebenarnya pemindahan ke daerah mengundi lain tidak boleh dilakukan,” kata beliau.

Setiap daerah mengundi hanya mempunyai satu pusat mengundi dan had pengundi dalam lingkungan 3,500 orang, kata Wan Ahmad.

Menyentuh isu yang sama, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh (gambar) mempertahankan angka yang pihaknya keluarkan Ahad lalu.

“Semakin hari semakin meningkat angka ini... saya pun dah berhenti daripada mengira lagi,” kata beliau dengan merujuk kepada senarai bercetak yang dipegangnya.

Beg yang dibawanya juga kata beliau, mempunyai bukti berlaku masalah tersebut.

Senarai itu menyebut seramai 14,297 pengundi terlibat dalam proses perubahan tempat mengundi.

Senarai yang dikeluarkan PKR semalam menunjukkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernama, tiga pusat pengundian terlibat dalam pemindahan iaitu dari SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernama dengan pengundi seramai 33 orang, dari SMK Kalumpang ke Sekolah Rendah Agama Kalumpang (219) dan dari Sekolah Rendah Hulu Bernama ke SK Hulu Bernama (Ladang Ascot) (1,084).

Dalam pada itu, di DUN Kuala Kubu Baru juga melibatkan tiga pusat iaitu dari SRJK (Tamil) Kuala Kubu Baru ke SMK Datuk Hj Kamaruddin dengan 2,824 pengundi, dari SK Kerling dipindahkan ke SJKT (Tamil) Ladang Kerling (39) dan dari Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Empat pusat terlibat dalam DUN Batang Kali iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (Cina) Serendah (752), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Serendah (1,898), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke SK Serendah (905) dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,266).

Menurut senarai itu pusat mengundi baru yang diwujudkan ialah Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya yang menempatkan 1,350 pengundi dari SK Taman Bunga Raya, SK Bukit Beruntung (589) dan SJK (Tamil) Sungai Choh Taman Bunga (304).

Seramai 233 pengundi dari SK Sungai Choh dalam daerah mengundi Kampung Tanjung telah dipindahkan ke bahagian Parlimen Selayang.

PENAFIAN

Fuziah juga berkata, SPR terus berada dalam situasi menafikan perkara tersebut walaupun pihaknya ada menyediakan bukti kewujudan masalah tersebut.

Malah kata beliau, pihaknya sangsi dengan proses itu kerana ia juga melibatkan perubahan 'criss-cross' di mana pemidahan silang yang dirasakan tidak sepatutnya berlaku.

Malah Fuziah, Ahli Parlimen Kuantan, memberi amaran jika SPR terus mengambil sikap membisu selpas 24 jam menjelang hari ini, PKR tiada pilihan lain kecuali menganggap SPR mempunyai niat jahat untuk menghalang kemenangan calon Pakatan Rakyat Ahad ini.

“SPR marah apabila kami mendakwa mereka ejen Barisan Nasional. Malangnya, mereka tidak melakukan apa-apa untuk membuktikan sebaliknya,” kata Fuziah sambil ulang gesa agar panel berkenaan meletakkan jawatan.

Ia gesaan kedua beliau terhadap SPR kerana mendakwa suruhanjaya itu gagal menjalankan tugas mereka dengan baik.

Kelmarin Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata walaupun SPR ada kuasa untuk memindahkan tempat mengundi tetapi ia tidak wajar dilakukan ketika pilihan raya kecil.

“Ia boleh dilakukan semasa pilihan raya umum,” katanya.

Wan Ahmad pula memberitahu The Malaysian Insider PKR sengaja mahu menjadikan perkara itu sebagai satu isu kempen pilihan raya.

“Tak timbul soal letak jawatan... ia satu tuduhan keterlaluan daripada Fuziah,” kata beliau ketika dihubungi sambil menambah, Fuziah sepatutnya datang ke SPR untuk mendapatkan penjelasan.

“Yang baiknya mereka patut datang untuk mendapatkan penjelasan SPR dahulu,” kata beliau lagi.

Calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim pula berkata, ramai pengundi yang datang mendampingi beliau ketika berkempen dengan mengadu nama mereka telah dipindahkan dari senarai daftar mengundi.

“Ini satu perlanggaran hak asasi manusia,” kata beliau.

“Dan, saya tidak hanya menyalahkan SPR atas masalah ini. Saya juga menyalahkan perdana menteri,” kata beliau sambil mendesak suruhanjaya itu menjelaskan mengapa pengundi-pengundi ini dipindahkan ke pusat pengundian lain sedang mereka mengundi di kawasan lama pada 2008.

“SPR telah mengetepikan isu (yang dibawa Pakatan ini), malah SPR meminta agar kami tidak mempolitkkan isu ini,” katanya.

Soal beliau, bagaimana SPR boleh melakukan perkara ini tanpa memaklumkan pengundi dan parti pembangkang.

“Adakah ini caranya kita menguruskan negara dan mengendalikan pilihan raya?” kata Zaid lagi.

No comments: