Perhimpunan 23 Feb bertujuan desak SPR laksanakan pilihan raya adil - Bersih |
Nyza Ayob |
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) menyahut cabaran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara bagi mengadakan perhimpunannya di tempat-tempat alternatif seperti stadium dengan mengadakan Pesta Rakyat 'Jom Bersih' pada 23 Februari akan datang. Menurut Ahli Jawatankuasa Bersih, Dr Dzulkifli Ahmad, Bersih membuat keputusan untuk membuat permohonan di tiga tempat iaitu Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil dan Dataran Merdeka bagi perhimpunan keduanya selepas 10 November lalu. Katanya sungguhpun Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) telah menunaikan satu daripada empat tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) rakyat akan terus diingatkan agar tuntutan yang lain itu turut dilaksanakan oleh SPR. "Sungguhpun satu daripada tuntutan Bersih akan ditunaikan oleh SPR iaitu penggunaan dakwat kekal, bagaimanapun SPR belum memutuskan secara terperinci mengenai penggunaan dakwat kekal tersebut. "Atas kesemua tuntutan tersebut, Bersih terpaksa menganjurkan Pesta Rakyat kerana proses pilihan raya negara ini yang tidak adil," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily. Selain itu katanya, Bersih juga menuntut SPR agar mengadakan pra pilihan raya atau 'pilihan raya olok-olok' sebagai percubaan agar semua parti dan seluruh rakyat boleh menentukan secara jelas dan tenang parti yang dipilih mereka agar tidak timbul huru hara sebagaimana Pilihan raya 2004. Dalam pada itu katanya, pengisian Pesta Rakyat tersebut akan disertai dengan pelbagai prgram seperti sketsa, sajak, pentomin, pameran serta gerai jualan. Pada program tersebut juga akan menampilkan pidato yang akan dipersembahkan oleh pimpinan tertinggi parti serta badan bukan kerajaan yang terlibat dengan Bersih. Sementara itu, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bersih menyatakan Bersih akan menggembeling usaha agar mesej reformasi pilihan raya kepada warga Malaysia disampaikan dan mengajak seluruh rakyat untuk hadir ke perhimpunan 23 Februari akan datang nanti. Kenyataan media tersebut juga menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara tidak berapa lama dahulu bahawa stadium ditawarkan bagi Perhimpunan Aman Rakyat Bersih tidak benar sama sekali. Malahan persoalan yang menyentuh mengenai tempat alternatif tidak pernah diutarakan dalam mana-mana perbincangan di antara pemimpin Bersih dan pihak polis berkaitan dengan perhimpunan tersebut. Selain itu Bersih menganggap pelaksanaan tuntutan Bersih untuk penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda, yang mana SPR secara lisan mempersetujuinya mungkin tidak dilaksanakan. Selain itu Bersih juga mempersoalkan permintaan badan itu untuk diadakan percubaan dalam pengendalian dakwat kekal dari kalangan pihak media, parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat yang tidak diendahkan sedangkan banyak persoalan yang perlu dijelaskan mengenai kekhuatiran mengenai keberkesanan cecair tersebut serta isu-isu teknikal semasa pelaksanaannya. - mns |