Mohamad Sabu:
PAS, Bersih akan terus adakan perhimpunan
Muda Mohd noor | Dec 11, 07 8:19pm - - Laman M@RHAEN
Walaupun ramai pemimpinnya ditahan polis, PAS dan Bersih akan terus mengadakan perhimpunan bagi membela hak rakyat dari kezaliman dan penindasan, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini.
Beliau berkata, perhimpunan perlu diadakan sehingga kerajaan memberikan hak rakyat dengan sepenuhnya.
"Kami akan terus mengadakan perhimpunan `haram' sehingga ia menjadi halal.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara petang tadi, Mohamad mendakwa, polis mahu memberi permit kepada rakyat untuk mengadakan perhimpunan tetapi dihalang oleh pemimpin Umno.
Sehubungan itu, Mohamad mendakwa Umno dan kerajaan telah memperalatkan polis supaya menangkap pemimpin pembangkang dan orang awam.
Beberapa pemimpin PAS termasuk Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Lo'Lo' Ghazali; Ketua Muslimat PAS, Norida Salleh dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan ditahan ketika cuba menyerahkan memorandum kepada Parlimen hari ini.
Mohamad berkata, perhimpunan merupakan hak asasi yang paling asas dan berlaku di mana-mana sahaja - sama ada di Asia dan Amerika Syarikat.
Pelabur tetap datang
"Adalah salah untuk mengatakan demonstasi menyebabkan pelabur enggan datang ke Malaysia. Di Amerika Syarikat dan Korea (Selatan) demonstrasi diadakan setiap hari tetapi pelabur tetap datang," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, PAS atau Bersih tidak menjadikan polis sebagai lawan sebaliknya menentang pemerintah yang zalim.
Mohamad juga menuduh pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih zalim daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri.
"Di zaman Dr Mahathir masih ada ruang untuk rakyat menghantar memorandum kepada Parlimen.
"Tetapi di zaman Abdullah, orang yang mahu menyerahkan memorandum kepada Parlimen ditangkap," katanya lagi.
Mohamad berkata, penangkapan pemimpin pembangkang itu bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak melakukan tindakan yang tidak sehaluan dengan pemerintah.
Katanya, rakyat bangkit menentang kerana mereka tidak puas hati dengan pemerintahan sekarang seperti isu rasuah, ekonomi dan sebagainya.
Tangani masalah rakyat
"Orang Melayu tidak puas hati dengan Umno, orang Cina dengan MCA dan orang India dengan MIC," katanya.
Mohamad berkata, sepatutnya Abdullah sedar mengenai ketidakpuashati rakyat kepaad kerajaan dan mengambil langkah menanganinya.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau dikehendaki melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Nibong Tebal esok dan Bukit Aman Jumaat ini.
Ahad lalu, polis telah menangkap Mohamad di Pulau Pinang atas dakwaan menyertai perhimpunan anjuran Bersih di depan Istana Negara pada 10 November lalu.
Dalam perhimpunan tersebut Bersih telah menghantar memorandum kepada wakil Istana Negara menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.