PKR bantah pinda Perlembangaan untuk sambung khidmat Rashid


Azamin Amin
Sat | Nov 24, 07 | 12:48:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) membantah tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-undang ( RUU ) bagi meminda umur persaraan pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 tahun kepada 66 tahun di bawah Artikel 114(3) Perlembagaan Persekutuan bagi menyambung perkhidmatan Pengerusi SPR sekarang Tan Sri Abdul Rashid.

Menurut Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pindaan Perlembangaan tersebut adalah satu perkara yang serius dan perlu dibahas secara keseluruhan.

"Tindakan ini merupakan satu tamparan hebat kepada sistem demokrasi negara kerana BN cuba meminda Perlembagaan khusus untuk kepentingan seseorang individu," kata beliau.

KLpos.com sebelum ini memetik sumber mengatakan perkhidmatan Abdul Rashid tidak akan disambung semula selepas kontraknya tamat 31 Disember ini.

Menurut Wan Azizah, PKR membantah penyambungan perkhidmatan Tan Sri Abdul Rashid yang dijangka bersara wajib pada 31 Disember ini.

"SPR di bawah pimpinan Tan Sri Rashid telah menunjukkan perkhidmatan yang tempang. Perkhidmatan Rashid telah mencemar kewujudan SPR bukan sahaja dari kaca mata parti-parti bukan pemerintah juga kebanyakan badan pemerhati politik dalam dan luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, kepincangan sistem pilihan raya negara telah terbukti dalam pilihan raya Dun Likas di Sabah, pilihan raya kecil Dun Lunas di Kedah, dan pilihan raya 2004 di mana bilangan pengundi hantu mencecah ratusan ribu orang.

"Meskipun demikian Rashid masih gagal memperbaiki segala kepincangan yang telah acap kali diketengahkan oleh banyak pihak.

"Lebih memalukan beliau semakin angkuh dan memberi ugutan kepada rakyat dan parti pembangkang bahawa beliau mempunyai kuasa untuk menentukan jangka masa berkempen dan menjanjikan PRU 12 adalah jangka masa yang terpendek dalam sejarah pilihan raya Malaysia," katanya.

Justeru, KeADILan berpendirian bahawa langkah pertama yang kerajaan harus lakukan ialah dengan melantik Pengerusi SPR yang baru kerana Pengerusi hari ini telah merobek kewibawaan pemerintah.

"Hanya dengan reformasi dalam SPR kepercayaan rakyat dapat dipulihkan. Namun tindakan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan lantas menjangkaui kuasa Yang Di Pertuan Agong jelas membuktikan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi begitu lemah hingga perlu memperalatkan SPR bagi mengekalkan kuasa," jelas beliau. - m


No comments: