DAP jelajah seluruh negara cari pekerja ‘malang’


DAP akan menjalankan siri jelajah seluruh negara mulai bulan hadapan bagi ‘mencari’ golongan pekerja yang tertindas, dibuang kerja dan berdepan risiko ditamatkan pekerjaan.
Pertemuan tersebut akan digunakan untuk menerang serta memberi panduan mengenai hak-hak pekerja, kaedah untuk mempertahankannya serta segala bentuk tindakan undang-undang yang boleh digunakan.
Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad berkata, siri jelajah tersebut akan turut menemui pimpinan parti peringkat negeri dan ahli-ahlinya untuk memberi taklimat mengenai aspek perundangan pekerjaan dan penjelasan mengenai isu 14 juta golongan pekerja di Malaysia.
“Biro kami juga akan membariskan para peguam yang memberi perkhidmatan secara professional untuk membela golongan pekerja kerana ramai daripada 14 juta pekerja di negara ini masih terpinga-pinga mengenai hak-hak mereka,
“Kebanyakannya tidak mempunyai kesatuan sekerja di tempat kerja mereka dan selalunya terpinga-pinga dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa apabila ditindas majikan,” ujar beliau.
DAP semenangnya terkenal dengan barisan pimpinan yang perjuangankan isu-isu pekerja sejak awal penubuhannya pada bulan Mac 1966.
Antaranya bekas presiden CUEPACS yang juga bekas naib pengerusi MTUC, arwah Ahmad Nor, bekas setiausaha agung MTUC, mendiang V David dan bekas pengerusi MTUC, Zainal Rampak yang turut membawa isu pekerja ke Parlimen selain aktif di lapangan.
Mengulas lanjut, berkata, siri jelajah tersebut adalah permulaan kepada gerakan besar-besaran mempertahankan hak dan periuk nasi pekerja dalam suasana ekonomi yang suram di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pada masa yang sama, biro berkenaan mendapat nafas baru dalam gerakan perjuangannya apabila Pengerusi Biro, Sivanesan Achalingam telah mendapat restu dari Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP untuk memperkasakan keanggotaannya.
Selain Sivanesan dan Amran, biro tersebut turut dianggotai oleh K.A. Ranu selaku setiausaha, S. Lavenyia, S. Muhendaran, Tan Yee Poh dan Sivananthan sebagai ahli jawatankuasa.
“DAP peringkat negeri atau sesiapa jua yang berminat untuk berjumpa dan mendengar taklimat dari kami boleh menghubungi biro kami dengan menghantar email kepada amran@dapmalaysia.org ,” jelas Sivanesan.

No comments: