HEBAT SANGATKAH DIN AYAM?

Din Ayam penyebab Dr Rani ingin melepaskan jawatan PJ negeri?

Aku respek!

Bagi Dr Rani, memegang jawatan exco adalah bebanan dan bakal berhadapan pengiraan yang teruk di akhirat.

Kota Damansara menghantui PAS Selangor, Dr Rani letak jawatan?

Dua minggu lalu, Dr Rani Osman (gambar) menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta tempatnya sebagai pesuruhjaya PAS Selangor digantikan orang lain.
Namun, pada 31 Julai, beliau menghantar satu lagi SMS memaklumkan beliau bersedia mengekalkan jawatan itu jika diamanahkan oleh pucuk pimpinan PAS.
Ketika SMS pertama dihantar, PAS sedang hangat membincangkan isu Kota Damansara yang menghantui parti itu kerana disalahkan akibatkan kekalahan calon dipersetujui Pakatan Rakyat (PR).
Arkitek kemelut Kota Damansara
Calon PAS bertanding di situ dan menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon PAS, PKR dan Barisan Nasional (BN).
Hasilnya, BN menang dan PR kehilangan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya 2008 lalu.
Sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani rasa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Lebih pun mesyuarat demi mesyuarat, pertemuan demi pertemuan, lobi demi lobi dan sebagainya menjelang pilihan raya ke-13 lalu, amat memenatkannya.
Dr Rani tidak mengejar jawatan. Beliau menerimanya berdasarkan amanah jamaah dan tanggungjawab.
Selepas pilihan raya umum lalu - dalam satu mesyuarat dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor – nama Dr. Rani disenarai sebagai exco kerajaan negeri bersama tiga lagi pemimpin PAS.
Nama mereka dikemaskini sebelum dihantar kepada Sultan Selangor untuk pengesahan sebelum dilantik sebagai exco.
"Ketika itu, Dr Yunus Khairi gembira bukan main kerana namanya terkeluar dari senarai. Isteri beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana 'memberikan' semula suaminya," kata Dr Rani ketika ditemui The Malaysian Insider di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, pada Rabu.
Keesokannya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menelefon memaklumkan senarai terkini exco Selangor yang diterima Istana. Nama Dr Rani terkeluar dari senarai itu dan nama Dr Yunus terpilih.
"Betul ke Tok Guru? Confirm ke? Presiden kata ye confirm, baru lepas bercakap dengan Tan Sri Khalid. Kau tahu apa aku buat, aku takbir," kata Dr Rani dengan penuh semangat.
Inilah cerita yang beliau kongsikan ketika ditanya - adakah beliau mahu melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor selepas tidak terpilih sebagai exco.
Bagi Dr Rani, memegang jawatan exco adalah bebanan dan bakal berhadapan pengiraan yang teruk di akhirat.
Atas sebab itulah, beliau berasa tidak mampu lagi memegang jawatan pesuruhjaya PAS negeri  itu selepas Muktamar Tahunan November ini.
Pihak yang paling marah dengan tindakan Dr Rani itu ialah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim selalu disebut beliau sebagai Presiden Kelab 52 iaitu kelab orang-orang yang rendah ketinggiannya, bawah lima kaki dua inci, sebagaimana beliau.
"Ingat anta (awak) sorang je ke yang nak letak jawatan kalau boleh. Ana pun nak, tetapi ini amanah," kata Tuan Ibrahim kepadanya.
Selepas dua minggu Dr Rani juga terfikir. Adakah Presiden PAS akan tersalah faham dengan SMS pertamanya dahulu. Beliau bimbang kalau-kalau dituduh mahu lari dari tanggungjawab.
Atas dasar itulah, beliau menghantar satu lagi SMS memaklumkan beliau sedia menerima jawatan itu jika diberikan amanah lagi.
Dr Rani dilantik menjadi Pesuruhjaya kira-kira dua tahun lalu apabila Datuk Dr Hassan Ali dipecat dari PAS awal Januari 2012.
KKetika ura-ura bertiup kencang beliau dipilih memegang jawatan itu bagi menggantikan Dr Hassan, Dr Rani berkata kepada rakannya:
"Jika aku tidak terpilih, aku akan belanja awak dua ekor kambing," katanya sebagai tanda gembira.
"Nasib kurang baik, saya terpilih. Saya pun lepaslah kambing itu," kata Dr Rani.
Dr Rani mencipta rekod tersendiri sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor. Di bawah kepimpinannya, PAS Selangor dilihat paling kuat, paling baik dan paling berjaya.
PAS Selangor mencipta sejarah tersendiri apabila menang 15 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen di negeri itu dalam pilihan raya ke 13 lalu.
Dalam Pilihan Raya 2008, PAS menang lapan kerusi DUN sahaja. Dengan memenangi 15 kerusi Dun, pilihan raya 2013 adalah pencapaian PAS yang terbaik di Selangor sehingga Dr Rani disebut-sebut sebagai bakal MB Selangor selepas pilihan raya umum lalu.
Dr Rani menyertai PAS pada 1999 bersama-sama dengan puluhan ribu rakyat Malaysia yang lain menyertai PAS ketika era reformasi. Dr Hassan Ali menyertai PAS sedikit lebih awal, namun dalam era yang sama.
Beberapa tahun kemudian, Dr Rani, graduan perubatan dari Mesir,  dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kapar. Pada 2004, beliau buat pertama kali bertanding di DUN Meru tetapi kalah dengan undi lebih 5,000.
Dalam percubaan keduanya, PRU 2008, Dr  Rani menang bergaya mengalahkan calon BN dengan majoriti 5,513 undi. Dalam PRU 13, beliau menang dengan majoriti lebih besar iaitu 9,079 undi.
Kini, semua ahli dan pimpinan PAS tertumpu kepada muktamar November ini. Dr Rani bakal menjadi tuan rumah kali ini kerana ia akan dilangsungkan di Shah Alam,  Selangor.
Muktamar ini amat penting untuk PAS kerana, ia berjalan dalam suasana PAS berada di persimpangan.
Kira-kira 31 tahun selepas ditubuhkan pada 1951, kepimpinan Datuk Asri Haji Muda bertukar tangan pada 1982 (1951-1982) . Pada tahun itu konsep kepimpinan ulama diperkenal selepas usul mengenainya diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Kini, pada 2013, kepimpinan ulama dalam PAS juga berusia 31 tahun (1982-2013). Apakah akan berlaku dalam muktamar yang tuan rumahnya adalah Dr Rani kali ini. Semua sedang memerhatikannya. – 2 Ogos, 2013.

No comments: