Pakatan Mahu Kerajaan Tangguh SBPA

SHAH ALAM, 29 DIS: Pakatan Rakyat mendesak agar kerajaan menagguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan memulangkan semula hak asasi semua penjawat awam di negara ini.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan berkata, peranan penjawat sektor awam sebagai tunjang perkhidmatan dan penggerak pembangunan negara bukan sahaja mesti dihargai tetapi kebajikan serta suara mereka mesti diberikan ruang dan dihormati.

"Salah satu bukti sektor ini dihormati dan dihargai adalah dengan memelihara maruah para penjawat melalui pendekatan musyawarah di mana, sebagai 'stakeholder', pandangan dan pendapat mereka diutamakan serta diambil kira secara tulus.

"Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara paling asas lagi penting, iaitu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bukan sahaja dari aspek perundangan malah dari sudut Islam sebagai 'aqad' pekerjaan tidak boleh diperkecilkan sehingga kelihatan seperti diperlekehkan," katanya

Mengulas lanjut katanya, penyisihan, pengkelasan dan 'penswastaan' peranan sektor awam mewujudkan perbezaan di antara dua atau lebih tepat empat darjat.

"Darjat pertama sanggup mengorbankan segala etika dan peraturan pentadbiran dengan alasan 'saya yang menurut perintah' untuk memenuhi kemahuan ahli politik yang lazimnya merugikan rakyat.

"Darjat kedua mendapat kontrak kerja mewah untuk hanya menjadi orang tengah dan mandur melakukan kerja yang mampu dilakukan setaraf malah lebih baik oleh professional penjawat awam seperti yang disaksikan dalam Pemandu," katanya.

Jelas beliau lagi, darjat ketiga pula seperti dalam JUSA mendapat kelebihan yang melebihi penjawat awam lain dan darjat keempat adalah majoriti berjiwa rakyat yang melakukan kebanyakan tugas dalam diam tetapi diurus dan dimandurkan oleh ketiga-tiga darajat atasan tadi.

Beliau mencadangkan agar pihak yang terlibat memulakan perbincangan ikhlas dan menyeluruh untuk merangka SBPA secara adil dan saksama, tanpa campurtangan pihak-pihak yang berkepentingan serta mereformasikan amalan mendarajatkan penjawat awam