Isu Hasan Ali Selesai Secara Harmoni

BACHOK, 28 Dis: Isu kontraversi yang melanda PAS melibatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali dianggap telah selesai dalam keakraban silaturrahim dan harmoni.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini dan juga berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Kemelut isu tersebut mula berada pada tahap kritikal apabila Dr Hassan membuat ulasan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal untuk menubuhkan sebuah negara Islam pada 20 Disember lalu.

Tindakan itu bagaimanapun disanggah beberapa kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan 'Negara Berkebajikan' diputuskan semasa Muktamar tahunan PAS dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu bagaimana pun menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mengatakan bahawa konsep 'Negara Berkebajikan' itu adalah tersasar daripada matlamat perjuangan parti.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz yang dipetik dari Harakah Daily.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Dalam perkembangan yang sama, Nik Aziz yakin hikmah disebalik kemelut ini menjadikan jurang perbezaan pendapat dalam parti semakin ditutup rapat dan tidak mungkin untuk Umno menyerang PAS dengan taktik yang sama.

No comments: