PENEMPATAN SEMULA KAMPUNG

Tempatkan Semula Kampung Curam Di Cameron Highlands - SM Idris

Monday, 11 January 2010 4:50 PM Oleh Ali Bukhari Amir

KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa digesa menempatkan semula cadangan pembangunan fasa pertama Kampung Tersusun (Melayu) Anggerik Cameron Highlands yang sebelum ini dibangunkan di cerun yang curam, memandangkan ia membahayakan penduduk.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Idris berkata, projek itu tidak sepatutnya diluluskan kerana ia berada dalam cerun kelas 4 (kecerunan melebihi 35 darjah), di mana seharusnya tidak terdapat sebarang bentuk pembangunan fizikal di kawasan alam sekitar sensitif.

"Ia adalah langkah positif oleh pihak berkuasa untuk mengeluarkan perintah henti kerja, tetapi ia seharusnya dilanjutkan kepada pembatalan projek itu," kata beliau dalam suatu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Kata beliau, pelbagai usaha pembangunan di kawasan bukit sebelum ini telah membawa kematian, ancaman keselamatan awam dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh, kegagalan cerun, hakisan tanah, banjir di kawasan hilir serta kerosakan harta benda.

"Kita tidak mahu mengulangi perkara yang sama. Memandangkan bahaya pada masa lalu berlaku di kawasan tanah tinggi, adalah penting sekali cadangan pembangunan Kampung Tersusun (Melayu) Anggerik ditempatkan semula ke kawasan yang lebih selamat.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas bagi memastikan bahawa pihak pemaju menjalankan pemulihan di kawasan cerun yang terdedah itu," kata SM Idris.

Akhbar The Star, hari ini melaporkan projek pembangunan di kawasan berbukit di kawasan Hutan Rizab Mentigi dan Gunung Jasar bermula Mei tahun lalu. Tetapi, Perintah Henti Kerja telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah selepas itu.

Kata beliau, penduduk berdekatan bimbang projek itu akan diteruskan semula dan mengancam keselamatan awam di samping menyebabkan kerosakan terhadap alam sekitar

No comments: