DR WAN AZIZAH YANG TABAH DAN HARUS DIBERIKAN PUJIAN



Tidak mudah sebenarnya menjadi Dr Wan Azizah Wan Ismail. Malah, barangkali paling susah. Di antara sekian ramai isteri pemimpin di negara kita, beliau mungkin yang paling tabah.

First Lady kita pun belum tentu ada jiwa setabah dan segagah Dr Wan Azizah.

Apabila isteri Anwar Ibrahim itu mengatakan beliau tidak lagi berdendam dengan Tun Mahathir Mohamad, kemuncak ketabahan beliau  memang tiada tandingannya. 

Sesetengah isteri, suami mereka bermasalah dalam JKKK kampung atau berbalah dengan ketua UMNO cawangan  pun, berdendamnya kadang-kadang boleh sampai ke mati.

Walaupun mengambil sedikit masa, pengakuan tiada dendam, bukan saja menyerlahkan besarnya jiwa Dr Wan Azizah, bahkan melegakan kita semua yang sedang ternanti-nanti perubahan dalam negara.
Sebagai seorang wanita dan isteri yang memang dalam diri mereka lebih banyak emosi dan airmata, apa yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah tidaklah semudah seorang lelaki melakukannya.

Daripada rentetan peristiwa sejak Anwar dipecat pada 1998, dipukul dan dihina, dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan, kemudian di penjara, bukan kepalang isteri mampu meghadapinya.

Malah, atas permintaan suaminya, Dr Wan Azizah kemudian berkorban jiwa raga serta tenaga dengan mengetuai sebuah parti  untuk memperjuangkan apa yang mereka rasa ketidakadilan kepada Anwar. 

Anwar dijadikan simbol ketidakadilan dan reformasi dengan mesej bahawa jika Anwar boleh diperlakukan sedemikian rupa, maka apatah lagi rakyat biasa.

Selepas Anwar dibebaskan, Dr Wan Azizah berkorban lagi dengan melepaskan kerusi Parlimen Pernatang Pauh dan jawatan Ketua Pembangkang yang sedang disandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar mengisi jawatan tersebut.

Bertahun-tahun mereka menjadikan Tun Mahathir sebagai sasaran dalam ceramah dan kempen dengan tujuan menjatuhkan UMNO dan BN. Ini kerana UMNO dan BN dengan segala masalah dan onarnya kepada negara adalah dianggap tinggalan Tun Mahathir.

Namun, atas tuntutan kepentingan negara dan apa yag dilakukan Najib jauh lebih merosak dan membinakan negara, Tun Mahathir dan Anwar memutuskan untuk berbaik semula.

Walaupun sukar dan mungkin masing-masing masih ada rasa terbuku di hati, tetapi kerana mereka lelaki dan juga pemimpin, jiwa besar untuk kepentingan rakyat dan negara, lebih-lebih lagi Anwar, mampu menjurus ke arah berbaik semula itu.

Namun, tidak seperti jiwa lelaki, tidak semudah itu jiwa halus seorang wanita untuk turut sama melakukannya. Hari ini bukan saja Anwar tidak lagi berdendam dengan Tun Mahathir, malah juga Dr Wan Azizah yang selama ini menanggung segala-galanya dengan derita dan airmata.

Jika Anwar menunjukkan jiwa besar dengan lebih dulu memaaf, tidak berdendam, bahkan sedia bertemu dan bersalam dengan Tun Mahathir demi  negara, Dr Wan Azizah juga tentunya melakukan atas alasan yang sama.

Atas kepentingan negaralah, tiada lagi dendam sesama mereka.

Dengan tiada lagi sebarang persengketaan antara keluarga Anwar dengan Tun Mahathir ini, tidak dinafikan bahawa perubahan lebih mudah untuk menjadi kenyataan. 

Jika Anwar pada pilihnaraya 2008'mampu membuatkan UMNO dan BN kehilangan lima negeri, gandingan dan bersatunya beliau dengan Tun Mahathir pada PRU 14 akan datang tidak mustahil menyebabkan tiga atau empat negeri lagi "melayang" dan seterusnya membuatkan kerajaan Pusat turut "terbang".

Di sebalik mengatakan Anwar dan Tun Mahathir sedang mengancam perpaduan negara, hakikat sebenarnya ialah gandingan kedua-dua pemimpin itulah fasa ketiga yang merupakan ancaman sebenar serta membuatkan Najib kini benar-benar rasa terancam. (SH 15/10/2016).

No comments: