Bersatu robohkan kubu Umno di Kedah

Bersatu robohkan kubu Umno di Kedah



Selepas yakin dengan Kelantan dan Johor, gabungan pembangkang kini yakin akan boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah pula dalam pilihan raya umum akan datang ini.
Ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kebanjiran sokongan pemimpin dan penyokong Umno bawahan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu sangat ketara di negeri itu sejak kebelakangan ini.
“Saya lihat Kedah juga boleh ditumbangkan oleh gabungan pembangkang jika trend yang ada sekarang berterusan.
“Sangat ketara sejak kebelakangan ini, orang-orang bawahan Umno ini lari dari parti itu.
“Saya percaya ini pengaruh pribadi Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya yang juga bekas MB Kedah, Datuk Mukhriz,” kata Mahfuz kepada Malaysia Dateline.
Menurut beliau, di kawasan Pokok Sena sendiri, tempat yang selama ini menjadi kubu kepada Umno dan tidak boleh dimasuki oleh Pas sekalipun kini sudah berpaling kepada Bersatu.
“Saya sendiri diminta oleh mereka untuk menerima borang penyertaan mereka ke dalam Bersatu, walapun bukan menyertai Pas,” kata Mahfuz merujuk kepada satu majlis penyerahan borang menyertai Bersatu dari ahli Umno di Pokok Sena kepadanya baru-baru ini.
Mahfuz yang terus kekal dalam Pas walaupun tindakannya dilihat tidak selari dengan pucuk pimpinan parti itu berkata, memang sukar untuk membawa orang Umno yang sudah sebati dengan parti itu ke dalam Pas, Amanah atau parti pembangkang lain.
“Tetapi mereka mudah berpindah kepada Bersatu sebab ia dipimpin juga oleh bekas pemimpin Umno.
“Jadi bagi saya tidak salah kita membantu Bersatu kerana dengan cara melemahkan Umno kita boleh mengalahkan BN dalam pilihan raya nanti,” katanya yang sehingga kini belum menjelaskan parti manakah pilihannya selepas rakan-rakannya dalam Pas menubuhkan Amanah apabila mereka disingkirkan dari pucuk kepimpinan Pas dalam Muktamnar PAS 2015 lalu.
Mahfuz bersama dua lagi wakil rakyat Pas, Datuk Amiruddin Hamzah dan Nasir Mustafa menyertai konvoi Bersih 5 di Sungai Petani baru-baru ini walaupun Pas memutuskan tidak akan terlibat dengannya.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, Pas menolak untuk menyertai Bersih selepas tiga minggu mereka habiskan masa untuk memujuk pimpinannya agar menyertainya.

No comments: