Warkah mahasiswa Al-Azhar untuk Tuan Guru Haji Hadi

Warkah mahasiswa Al-Azhar untuk Tuan Guru Haji Hadi


17 Jun 2016 oleh Al-Filfilany


Tuan Guru yang mulia, kami para mahasiswa sangat tertanya-tanya tentang tindakan, perancangan, strategi, dan hala tuju apa dan ke mana yang Tuan Guru sedang halakan kapal yang sedang dinakhoda.
Apabila Pakatan Harapan di bawah Datuk Seri Dr Wan Azizah bersama semua Ahli Parlimen pembangkang utama dalam Parlimen membawa usul menolak belanjawan yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tuan Guru dan semua Ahli Parlimen PAS kecuali beberapa orang bertindak berkecuali.
Begitu juga, apabila saya membaca jawapan Tuan Guru, ketika dipelawa Tun Dr Mahathir untuk gerakan Deklarasi Rakyat bagi menyingkir Najib Razak, Tuan Guru juga tidak bersetuju.
Saya juga membaca tulisan Tuan Guru sebelum ini yang berpedomankan fatwa Al-Azhar dan ulama Syria yang menolak gerakan menjatuhkan pemimpin, kerana akan menggugat keamanan dan kestabilan negara.
Bukankah situasi Mesir, Syria, dan negara Timur Tengah yang terlibat dengan ‘Arab Spring’ merupakan situasi yang berbeza dengan keadaan Malaysia?
Satu persoalan pokok di dalam warkah ini, mengapa Tuan Guru tidak menentang isu 1MDB secara terang-terangan hingga memberi isyarat kepada Perdana Menteri bahawa rakyat menyampah dengan skandal syarikat bermasalah ini.
Skandal 1MDB sedang disiasat oleh berbilang agensi antarabangsa, dan terkini telah mengundang saman arbitrasi di London, menuntut jumlah keterhutangan yang amat besar.
Sekiranya Tuan Guru inginkan keamanan dan kestabilan negara, mengapa tidak menentang syarikat yang merosakkan dan menjatuhkan ekonomi dan maruah negara?
Saya ingin menarik perhatian Tuan Guru terhadap apa yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tentang penjualan aset negara kepada China, persetujuan menandatangi TPPA, dan pelbagai kerosakan yang terjadi pada era Najib Razak yang menggugat keamanan dan kestabilan negara. Ramai melihat, mengekalkan Najib Razak lebih berpotensi menghancurkan negara.
Namun kenapa Tuan Guru masih bertegas dengan pendirian untuk tidak kita turunkan Najib Razak dengan pelbagai kaedah dalam kerangka demokrasi yang boleh kita pilih tanpa kita bertindak seperti Arab Spring?
Dalam keadaan harga barang meningkat naik, nilai Ringgit naik turun tidak menentu, kos sara hidup yang membebankan rakyat, 1MDB, hutang negara, kenapa perlu kita dahulukan berbincang soal perundangan? Bukankah lebih baik kita pilih fatwa penangguhan hudud yang dipilih oleh negara umat Islam lain bagi membangunkan kehidupan rakyat kepada satu keadaan selesa.
Saya juga terkejut melihat di media sosial, apabila ada yang disaman oleh ‘polis syariah’ kerana berpakaian ketat dan sebagainya. Kenapa harus dilakukan pendidikan melalui penguatkuasaan undang-undang? Kenapa tidak dengan pelbagai kaedah dakwah lain yang sangat banyak untuk dipilih bersesuaian dengan keadaan rakyat dan negara ini.
Sedangkan saman trafik dan polis rakyat tak mampu bayar, ini ditambah pula dengan saman oleh polis syariah. Akhirnya, rakyat hidup dalam keadaan susah hati dengan saman yang pelbagai, adakah ini keamanan yang dituntut?
Maka saya mohon dengan kebijaksanaan, pengalaman, dan keilmuan Tuan Guru untuk memilih kaedah, fatwa dan mengistinbat ayat ahkam yang bersesuaian dengan waqi’ atau situasi negara kita.
*Al-Filfilany tidak menggunakan nama sendiri kerana masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.

No comments: