Pakatan tubuh Majlis Etika Media yang bebas lepas menang PRU 13

Pakatan tubuh Majlis Etika Media yang bebas lepas menang PRU 13

(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 18 APRIL: Majlis Etika Media yang bebas dari kawalan Menteri Dalam Negeri akan ditubuhkan sebaik Pakatan Rakyat menang Pilihan Raya Umum ke-13, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini sesuatu yang semestinya berlaku. Kita tak boleh mengandaikan media seperti Utusan Malaysia dan TV3 meneruskan cerita fitnah tanpa dikawal oleh sebuah majlis etika media yang bebas.

bebaskan media“(Dan Majlis Etika Media) bukannya (dikawal) oleh Menteri Dalam Negeri,” kata Anwar pada ‘Forum Memanifestasikan Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama’ di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Anwar menjelaskan, keangkuhan Umno BN yang berterusan memperbodohkan rakyat jelas kini disebarkan melalui propaganda di semua media arus perdana dan ia perlu dihentikan.

“Hingga sekarang ini, kita masih belum mendapat jaminan tegas untuk kerajaan menjawab tuntutan pilihan raya yang bersih, jaminan perundangan dan senarai undi yang sah.

“Dengan hambatan dan keterbatasan ini, apakah kita yakin (menang)? InsyaAllah,” kata Anwar.
Beliau merujuk pandangan ahli falsafah Sepanyol, José Ortega y Gasset dalam tulisan La rebelión de las masas (The Revolt of the Masses) bahawa hasrat rakyat yang mahukan kepada perubahan, tidak dipedulikan pemerintah.

“Ini bicara soal kekuatan rakyat. Kita jangan ingat rakyat ini tidak rumit…(dan kita) hanya fikir soal perubahan politik semata-mata. Ini menyebabkan pemerintah terjangkit dengan apa yang dikatakan sebagai ‘keangkuhan kuasa’.

“Kita mahukan perubahan nilai yang lebih baik dan keupayan mengangkat kesedaran. Kalau pimpinan politik tak merasakan mereka serba tahu, maka kena ada tawadhu’ untuk mengakui ada kekuatan daripada rakyat.
“(Perubahan) ini adalah berkenaan kepedulian dan keprihatinan nilai kemanusiaan,” tegas Anwar.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50685

No comments: