Himpunan Hijau 2.0: Umno-BN Jangan Flip-flop

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi di Gebeng, Pahang menyelar tindakan Kerajaan Umno-BN yang berdolak dalik tentang kebenaran bagi mengadakan protes itu pada Ahad ini.

Menurut Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah mengeluarkan satu perintah bagi menghalang protes itu di
di Padang Kuantan walaupun Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang telah membenarkan himpunan itu berlangsung.

Menurut Pertubuhan itu sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah memberikan kebenaran untuk perhimpunan itu dijalankan dengan syarat ianya tidak dibuat di jalan raya.

Sementara itu, beberapa NGO telah menyuarakan sokongan padu kepada perhimpunan tersebut dan bertekad akan mengadakan demonstrasi-demonstrasi yang sama di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Penang dan Perak.

Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack mengesa Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang agar mengotakan janji untuk membenarkan perhimpunan dijalankan di atas padang mengikut syarat yang ditetapkan sebelum ini.

"Tetapi nampaknya, MPK pula yang menghalang Perhimpunan Hijau untuk diadakan tanpa diberi sebarang alasan penolakan ini, cuma dinyatakan dalam surat yang dihantar ialah 'tidak dapat dipertimbangkan.'

"Adakah kuasa yang ada pada MPK lebih besar berbanding kuasa PM dan MB atau satu dolak-dalik mereka untuk menggagalkan perhimpunan ini?

"Apa yang berlaku dalam isu Perhimpunan Hijau ini, sama seperti yang dihadapi oleh Bersih 2.0 dahulu.

"Sekejap boleh buat di stadium, tapi bila Ahli Jawatan Kuasa minta kebenaran guna stadium tak beri pula," beritahu Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack di dalam satu sidang media di sini hari ini.

Perhimpunan itu bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) oleh Lynas Corporation yang bernilai RM700 juta.

Jumlah sisa buangan radioaktif projek itu dikatakan mampu mencecah keluasan dua buah padang bola dan mengancam kesihatan masyarakat di Kuantan dengan risiko terdedah kepada penyakit barah, leukimia dan lain-lain.

Selain itu, projek yang mendapat keistimewaan kerajaan dengan pengecualian cukai kerajaan selama 12 tahun dikatakan boleh mencemar alam sekitar termasuk sungai yang menjadi sumber bekalan air.

Wong juga melahirkan kekesalan dengan sikap MPK dan pihak PDRM yang dilihat tidak memberi kerjasama yang baik dalam isu ini.

"Sebelum ini, bila kami jumpa MPK mereka kata, dapatkan surat sokongan dari polis, tetapi bila kami tanya pada pihak polis, mereka suruh kami tanya MPK pula.

"Tindak-tanduk mereka seperti orang bermain ping pong tolak ke sana ke mari, sepatutnya MPK dan polis sama-sama selesaikan masalah komunikasi sesama mereka itu," beritahunya lagi.

Dalam sidang media itu beliau turut menegaskan Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan diteruskan meskipun tidak mendapat kebenaran dari MPK.

"Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan kami teruskan pada Ahad ini, walaupun tidak mendapat lampu hijau dari MPK atau mana-mana pihak berkenaan.

"Perhimpunan ini diteruskan di padang seperti yang dirancang, tetapi sekiranya MPK bertindak menutup padang, jangan pula salahkan kami sekiranya kami terpaksa turun ke jalan raya," ujar beliau lagi.

Di dalam satu sidang media yang lain, beberapa NGO mengumumkan perhimpunan solidariti turut diadakan secara serentak bermula jam 9 pagi di Kuala Lumpur (Maju Junction), Pulau Pinang (Esplanade), Perak (Bukit Merah) dan Sabah (Kota Kinabalu).

"Saya percaya Himpunan Hijau 2.0 ini merupakan platform semua orang yang mengambil berat mengenai alam sekitar, yang peduli tentang hak tinggal dalam persekitaran yang selamat untuk datang berhimpun.

"Hadirlah beramai-ramai bagi menunjukkan hak dan keprihatinan kita dalam isu ketidaktelusan penjagaan alam sekitar," seru Pegawai Perhubungan penganjur Himpunan Hijau 2.0, Clement Chin.

Antara NGO yang menyokong Perhimpunan itu adalah Pusat Pembangunan Budaya LLG (LLGCDC) Asalkan Bukan Umno, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Kumpur dan Selangor, Kumpulan Kemajuan India Kebangsaan, Parti Rakyat Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.

No comments: