Saturday, July 16, 2011

Hishammuddin Digesa Dedah Kos Operasi Banteras Bersih 2.0

SHAH ALAM 16 JULAI : Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein didesak supaya mendedahkan perbelanjaan yang ditanggung kementerian itu dalam operasi besar-besaran membanteras Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, beliau difahamkan kos bagi operasi tersebut mencecah jutaan ringgit.

“Hishammuddin perlu dedahkan berapa perbelanjaan yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri sepanjang operasi itu berjalan apabila mengerahkan begitu ramai polis dengan segala logistiknya, makanan untuk pegawai bertugas selama beberapa hari menjaga dan mengawal Kuala Lumpur . Kita nak tahu sejak dari mula operasi sampai habis.

“Saya difahamkan perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli Pas di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum Himpunan Bersih 2.0 berlangsung pada 9 Julai lalu, polis telah mengerahkan anggotanya untuk mengambil tindakan serta menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri menarik balik semua pengisytiharan pengharam terhadap Bersih 2.0 termasuk baju-T.

Semalam Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk merampas barangan dan menangkap individu yang menjual barangan yang mempunyai logo Bersih 2.0 pada Sabtu lalu kerana ia menyalahi undang-undang.

Tambahnya lagi, sebarang penjualan barangan termasuk pakaian seperti kemeja-T atau tali leher yang mempunyai logo penganjur perhimpunan haram itu adalah tidak dibenarkan sama sekali.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers