Bagi pendokong dan pentaksub Tun Mahathir Mohamad, termasuk yang berada dalam PH, hakikat mereka tetap mahukan Pengerusi Bersatu yang telah terpecat itu dijadikan Perdana Menteri sekali lagi nyata bukan suatu ilusi semata-mata.
Kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa gandingan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya sudah pun dipersetujui oleh DAP dan Amanah serta hanya menunggu persetujuan PKR untuk ia dimuktamadkan dengan sendirinya mengesahkan tanggapan yang wujud selama ini.
Tambah Anthonyt lagi dalam bentuk gesaan, Anwar dan PKR tidak sepatutnya berlengah lagi dalam menyatakan pendirian terhadap perkara itu.
Tanpa mengambil kira bahawa Tun Mahathir sudah dua kali menjadi Perdana Menteri, berusia hampir 95 tahun, tiada parti, telah meletak jawatan dan tidak lagi berada dalam gabungan PH, kenyataan pemimpin DAP itu yang mewakili pendirian partinya dan Amanah, adalah sesuatu yang amat malang sekali bagi PH.
Ia menunjukkan bukan saja dalam pemikiran kedua-dua parti itu hanya Tun Mahathir saja yang lebih layak memimpin negara ini berbanding Anwar, bahkan memperlihatkan sikap mereka yang mengagungkan pihak luar berbanding pemimpin dalam PH sendiri.
Lebih-lebih lagi dengan kenyataan Anthony Loke bahawa gandingan Anwar dan Mukhriz sebagai cadangan asal PH menemui jalan buntu kerana mendapat bantahan daripada Warisan yang dipimpin oleh Shafie Apdal.
Bukankah dalam hal ini Warisan bukan anggota PH, tetapi hanya sebagai sekutu saja?
Jadi, kenapa PH terkepung dengan pendirian Warisan itu, sedangkan sepatutnya Warisan yang perlu akur kepada PH?
Perkembangan ini juga memperlihatkan Anwar, di mata DAP dan Amanah, dirasakan hanya sesuai menjadi Perdana Menteri setelah Tun Mahathir memegang jawatan itu buat kali yang ketiga di mana kemudian beliau akan melakukan penyerahan kuasa kepada Presiden PKR itu.
Seolah-olahnya, sebelum Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali yang ketiga, Anwar tidak layak sama sekali memegang jawatan tersebut.
Tambah menjadikan seperti jawatan Perdana Menteri perlu dimutlakkan sekali lagi kepada Tun Mahathir, hal lain yang turut menimbulkan kekeliruan ialah adanya permintaan Tun Mahathir sendiri hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama enam bulan saja.
Dalam hal ini, Tun Mahathir juga disebut oleh beberapa pihak lain yang dekat dengannya bahawa beliau sedia diikat dengan perjanjian hitam putih beserta tarikh muktamad penyerahan kuasa kepada Anwar yang ditandatangani oleh semua pemimpin PH, Anwar serta Warisan.
Seterusnya, pihak itu juga menyebut bahawa tujuan Tun Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, walau hanya enam bulan, selain untuk meneruskan agenda menyelamatkan Malaysia yang tergendala sebelum ini kerana tumbangnya kerajaan PH, ia juga disebabkan beliau ingin menunaikan janji penyerahan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang telah dipersetujui sejak Januari 2018 lagi.
Selepas penyerahan kuasa itu nanti, kononnya selesailah sudah segala “hutang” Tun Mahathir kepada Anwar.
Maka, selepas itu Tun Mahathir dikatakan dapat bersara dengan aman dan Anwar pula bolehlah menerajui negara tanpa banyak lagi gangguan.
Perghhhhh….sedapnya ayat-ayat cinta yang mereka dendangkan untuk menjadikan Anwar terbuai lena dibuatnya?
Soalnya, benarkah itu yang Tun Mahathir ingin dan akan lakukan setelah diangkat menjadi Perdana Menteri sekali lagi nanti?
Apakah jaminan bahawa Tun Mahathir tidak sekali lagi berhelah atau melengah-lengahkan peralihan kuasa kepada Anwar dengan pelbagai alasan yang direka-reka?
Lagi pun, sebagaimana yang disebut beberapa kali dalam blog ini sebelum ini, ikut logiknya, apa yang Tun Mahathir mampu lakukan dalam tempoh enam bulan sebagai Perdana Menteri nanti?
Jika janji dua tahun sebelum ini pun dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan yang mengelirukan, tidakkah tempoh enam bulan lebih mudah untuk beliau mencipta hujah lain agar tempoh memegang jawatan lebih dipanjangkan?
Yang tidak kurang menjengkelkan, kalau benar Tun Mahathir hanya mahu melakukan peralihan kuasa kepada Anwar selepas enam bulan beliau memegang jawatan Perdana Menteri, bukankah lebih terpuji jika beliau memberikan sokongannya sekarang untuk Anwar menjadi Perdana Menteri?
Apa bezanya melakukan penyerahan kuasa kepada Anwar enam bulan akan datang berbanding jika Tun Mahathir berusaha dan menyokongnya sekarang? (Shahbudindotcom 17/06/2020)