Pakatan OK, BN yang koyak rabak sebenarnya — Mohd Rashidi Hassan
NOV 10 — Tidak ada sebab yang kukuh untuk ahli dan penyokong gabungan Pakatan Rakyat, berasa terlalu gusar tentang masa depan gabungan yang dikatakan sedang berkocak sehingga membawa kepada perpecahan.
Buat masa ini perpecahan tidak akan berlaku. Jika PAS yang keluar dari pakatan, PAS yang akan rugi. Jika DAP keluar, DAP akan rugi. Begitu juga dengan Parti KeADILan Rakyat.
Buat masa ini, jika ada mana-mana parti gabungan pakatan, yang mahu membuat haluan tersendiri, mereka akan ditolak oleh rakyat berbilang kaum dalam negara.
Ingat, negara tidak akan terbina dengan hanya kekuatan satu-satu kaum sahaja. Semua kaum memerlukan sokongan antara satu sama lain untuk hidup aman makmur.
Justeru, apabila Pakatan Rakyat dibentuk, hasil kepercayaan rakyat kepada PAS, PKR dan DAP untuk berhadapan dengan Barisan Nasional, maka jika Pakatan Rakyat hendak membentuk kerajaan baru di peringkat Pusat, ianya mestilah dengan dokongan semua pihak, semua kaum dan agama.
Apa yang berlaku hanyalah permainan licik media. Tidak dinafikan memang wujud pergeseran kecil antara Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Ronnie Liu dan lain-lain.
Wujud sedikit ketidak puasanhati pemimpin DAP negeri terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu kandang babi, kuota perumahan untuk bumiputera dan pembahagian jawatan ketua-ketua kampung.
Wujud ketidak puasanhati PAS dan PKR terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, yang dikatakan tidak banyak memberi ruang kepada PAS dan PKR.
Dari sudut dalaman parti, tidak dinafikan wujudnya beberapa pergeseran kecil antara individu pemimpin dalam PAS, PKR dan DAP.
Akibatnya, ia mencetuskan kesilapan pemimpin dan ahli tertentu, yang nampaknya mudah terpengaruh dengan permainan licik media pro-Umno, iaitu secara terang-terangan mengkritik antara satu sama lain.
Bagaimanapun semua ini hanyalah seumpama, “kocakan sedikit air di dalam cawan sahaja”. Ianya tidak akan sama sekali menjejaskan keutuhan kepimpinan PAS, PKR mahupun DAP dan ia tidak sekali-kali menjejaskan kesepakatan Pakatan Rakyat.
Apa yang penting, seluruh kepimpinan PAS, PKR dan DAP sedar bahawa, masing-masing tidak harus terlalu “bold” untuk menegakkan perjuangan “sectarian”.
Kepimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat seharusnya mencipta budaya exceptionalisme, dari sudut agama, nilai, tradisi dan moral-etika dengan menghormati perbezaan asas perjuangan parti yang berbeza.
Kepimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat harus disedarkan dan diikat dengan satu matlamat yang sama, iaitu berusaha mencapai hasil kesepakatan, membentuk Kerajaan Pusat dan Negeri, dengan menumbangkan Barisan Nasional.
Justeru, sasaran utama Pakatan Rakyat ialah untuk menggantikan BN, sebagai peneraju negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
BN seharusnya ditolak secara total kerana pertama; ia telah berkuasa terlalu lama sehingga melakukan banyak tindakan yang merugikan negara, kedua; BN masih gagal mengawal kestabilan agama dan kaum, ketiga; BN gagal menguruskan ekonomi negara dan keempat; pada waktu ini, hampir semua ahli gabungan utama BN sedang koyak rabak.
Cuma Umno sahaja “kelihatan” kukuh. Umno dilihat kukuh kerana pergeseran dalamannya cepat ditutup media, walaupun keadaannya seperti “tongkang pecah”. Ini belum lagi dibahas dari sudut sama ada relevan atau tidak perjuangan agama, bangsa dan negara yang dipelopori Umno selama ini.
Tetapi jika kita lihat sekarang, apa sudah jadi dengan parti-parti gabungan BN yang lain? Gerakan nampaknya sudah semakin pupus, yang tinggal hanya Tan Sri Koh Tsu Koon. MIC sudah disisihkan terus dengan presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu bergaduh dengan PM dan MIC hanya menunggu masa untuk melingkup.
MCA sebagai parti terbesar mewakili kaum Cina sekarang ini berada dalam keadaan yang amat teruk dan sudah hampir lumat dikerat 18. Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ditolak oleh mesyuarat agung khas MCA.
Kedua-dua pemimpin yang bergaduh antara satu sama lain, kemudian ditolak oleh perwakilan, sebaliknya bergabung semula untuk berhadapan dengan satu kumpulan lain yang diketuai naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
MCA sudah “koyak” kata seorang pimpinan tertingginya sewaktu sembang-sembang dengan penulis di lobi Parlimen baru-baru ini.
Namun yang harus diteliti adalah, gesaan Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang menggesa Tee Keat dan Tsu Koon supaya meletakkan jawatan kerana tidak 'perform'. Tuduhan ini amat serius dan tidak harus dikesampingkan sahaja.
Bukan soal Mohamad Aziz, tetapi persoalan yang lebih besar ialah mengapa Kerajaan BN, SPRM, Umno mendiamkan sahaja dakwaan Pengerusi BBC BN, Datuk Seri Tiong King Sing yang memberikan wang tunai RM10 juta kepada Tee Keat.
“Tee Keat sendiri yang datang ambil, 10 juta (RM) berkotak-kotak, dia pandu kereta sendiri, Datuk Tiong tak bohong, figure yang dia bagi tepat,” kata beberapa orang ahli parlimen BN semasa berborak sesama sendiri.
Ini belum lagi dibincangkan secara terperinci isu rasuah pemimpin Umno, dakwaan rasuah ke atas Samy Vellu dan lain-lain.
Isu-isu mengenai “kejahatan” pemimpin-pemimpin BN, melakukan jenayah rasuah dan salah guna kuasa ini cuba dilindungi media massa pro mereka.
Akibat daripada penguasaan yang begitu lama, mereka tidak segan silu “menyapu bersih” wang rakyat. Apa yang mereka lakukan amat dahsyat sekali.
Jika diteliti dan diperhalusi, “kejahatan” mereka dan perpecahan yang melanda mereka, iaitu parti-parti komponen BN, jauh lebih dahsyat daripada pergeseran kecil dalam Pakatan Rakyat yang dipaparkan dalam artikel ini.
Malangnya ramai dari kalangan kita, sering terpengaruh dengan dakyah media jahat ini.
Justeru Umno-BN tidak kukuh sebenarnya, hanya media yang “menambah-solek” dan menutupi kecacatan wajah mereka.
Pakatan Rakyat tidak berpecah sebenarnya, hanya media yang mengapi-apikan perpecahan.
Oleh itu jangan sesekali kita termasuk perangkap mereka dengan mempercayai dakyah bahawa Pakatan Rakyat merupakan pakatan yang rapuh.
Jika kita percaya dengan dakyah media, maka kita sendiri yang menghalang kemajuan dan tidak yakin keupayaan kita untuk menggantikan BN selepas PRU ke-13 nanti.