KUALA LUMPUR 03 OKT : Pemimpin Pakatan Rakyat menyelar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kerana memasukkan rang undang-undang versi baru bagi pembangunan Kampung Baru tanpa berunding bersama sekretariat penduduk.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang ditemui dalam sidang media di lobi Parlimen berkata, adalah tidak wajar RUU baru itu dibahaskan oleh Menterinya Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin tanpa memanggil sekretariat penduduk terlebih dahulu
untuk meneliti draf RUU tersebut.
Katanya, walaupun RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang sepatutnya dibaca kali kedua hari ini ditarik balik pagi tadi, namun tindakan yang dilakukan kerajaan itu turut menggambarkan sikap mereka yang seringkali mengabaikan pandangan serta suara penduduk.
"Walaupun RUU itu dimansuhkan, tetapi tidak disedari RUU baru telah dimasukkan pada pukul 11.30 pagi untuk menggantikan RUU yang ditarik balik pagi tadi. Tidak sewajarnya RUU baru dimasukkan tanpa menteri wilayah panggil khususnya sekretariat penduduk untuk meneliti draf RUU ini," katanya.
Jelas Salahuddin, RUU baru itu sepatutnya dirujuk kepada panel peguam seminggu lebih awal untuk dibuat penelitian sebelum diusulkan di Parlimen.
"Kerajaan mengatakan 90 peratus rakyat setuju dengan RUU baru ini. Kita pertikaikan dan cabar mereka untuk dedahkan memorandum itu. Kalau betul penduduk setuju, kenapa RUU yang sepatutnya dibacakan pagi tadi ditarik balik? Ada banyak penipuan dalam RUU itu. Sekretariat penduduk Kampung Baru tidak pernah mempunyai
rundingan yang berintigriti bersama pihak kerajaan," tegasnya.
Kenyataan itu turut disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Mahfuz, sebelum bacaan kali kedua atau bahas RUU ini diluluskan, kerajaan seharusnya terlebih dahulu merujuk akta berkenaan kepada penduduk Kampung Baru.
Ini kerana jelasnya, sekiranya ia dibahaskan tanpa persetujuan penduduk, intipatinya tidak akan dapat dihayati penduduk terutama bagi mereka yang berkepetingan di Kampung Baru (tuan tanah).
"Sebelum dibahaskan dan diluluskan di parlimen, saya meminta menteri yang bertanggungjawab ini harus memanggil semua penduduk di Kampung Baru untuk mendapatkan persetujuan daripada lembaga atau sekretariat yang wujud di kawasan itu," katanya.
Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik RUU itu yang sepatutnya dibaca kali kedua di parlimen hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, undang-undang kontroversi itu akan digantikan dengan versi baru yang ditambah baik selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.