MAHATHIR MULAI SASAU.SERANG NAJIB

Semua mulai tidak betul di mata Mahathir 

Sebagaimana yang diramalkan banyak pihak, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersuara lagi mengenai Umno. Dalam tulisan terbaru di blognya, beliau mengkritik cara kempen Umno dan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau yang menyaksikan calon BN kalah kepada calon PAS dengan kekurangan 1084 undi.

Mahathir menyifatkan pemberian wang dan hadiah ketika kempen di Sungai Limau tidak berjaya memikat hati pengundi, malah menganggapnya suatu pembaziran dan kekalahan calon BN adalah bukti bahawa pengundi menolak budaya itu yang telah pun ditunjukkan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi.
"Ini jelas sejak PRU13, yang tidak sokong, tetap tidak sokong juga. Wang yang diberi adalah suatu pembaziran, tidak kira sama ada wang kerajaan atau bukan kerajaan.
Sanggahan Mahathir mengenai cara kempen BN ini memang ada benarnya, malangnya itulah yang sebenarnya telah diamalkan sejak sekian lama. Di era Mahathir pun, ketika kempen pilihan raya, itu juga cara kempennya.

Pemberian wang, hadiah, kain batik, kain pelikat dan projek-projek pembangunan adalah cara kempen yang sudah sebati dengan Umno dan BN sejak dulu lagi.

Ketika kempen pilihan raya, tidak banyak yang bercerita tentang apakah perjuangan Umno dan sasaran masa hadapan yang mahu dilakukan kepada rakyat. Apa yang banyak dicurahkan oleh janji-janji pembangunan dan seumpamanya saja. Dan melalui janji pembangunan, pemberian wang dan saguhati itulah Umno dan BN menang pilihan raya selama ini.

Kenapa Mahathir tidak mengkritiknya sebelum ini dan hanya berbuat demikian setelah BN kalah di Sungai Limau?

Adakah jika BN menang dalam pilihan raya Sungai Limau tempoh hari, kritikan Mahathir tetap sama?
Kritikan Mahathir terhadap amalan pemberian wang dan saguhati ini adalah serangan terbarunya terhadap Umno dan kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak. Ini juga memperlihatkan bekas Perdana Menteri itu semakin kerap bersuara mengenai Umno, kerajaan dan Najib sejak pemilihan Umno pada 19 Oktober lalu yang menyaksikan anaknya, Mukhriz hanya mampu mendapat tempat keempat dalan perebutan kerusi naib presiden Umno walaupun dilihat adalah calon yang popular.

Sebaik usai pemilihan itu, Mahathir seperti meluahkan rasa kecewanya dengan kekalahan Mukhriz. Katanya, beliau memang sudah menjangka anaknya yang juga MB Kedah akan tewas dalam pertandingan itu kerana beliau bukanlah calon pilihan Perdana Menteri.

Jelas daripada ungkapan itu, terpancar rasa kecewanya kerana Najib lebih meletakkan Hishammuddin, sepupunya dan dianggap lemah serta tidak disukai oleh rakyat sebagai antara calon pilihan Perdana Menteri untuk memenangi jawatan nombor tiga itu, sebaliknya Mukhriz yang tidak dijadikan calon pilihan Perdana Menteri bertanding keseorangan.

Mahathir juga kemudian mengatakan politik wang masih berlaku dalam Umno sehingga calon yang tidak layak akhirnya memenangi jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini. Sekali lagi, tafsiran umum mengenai calon yang dianggap tidak layak tetapi telah memang itu sebenarnya ditujukan kepada Hishammuddin.
Memang diakui dalam pemilihan lalu, Hishammuddin merupakan calon paling tidak popular dan ramai yang mahukan beliau kalah. Berbanding dengan Mukhriz yang baru membawa kemenangan kepada BN menawan semula Kedah, anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn itu nyata jauh tertinggal di belakang.

Bagaimanapun ketika pemilihan, Hishammudin berjaya mendapat tempat ketiga dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz manakala Zahid Hamidi di tempat pertama dan Shafie Apdal di tempat kedua.

Kedudukan sebagai calon bukan pilihan Najib dianggap sebab utama tewasnya Mukhriz dalam pemilihan itu.
Selepas mengkritik mengenai politik wang yang masih berlaku dalam Umno, Mahathir juga kemudian mengatakan kepimpinan Najib sebenarnya semakin lemah kerana kerap tunduk kepada tuntutan kumpulan ekstrem daripada pembangkang.

Jika dikira pendedahan mengenai tekanan yang sedang diberikan oleh Mahathir kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan menjadikan kehilangan Pulau Batu Puteh dan salah lakunya ketika mengendalikan kes ‘mata lebam’ yang melibatkan Anwar Ibrahim sebagai asas menekan pegawai tinggi kerajaan yang dianggap rapat dengan Perdana Menteri itu, serangan dan kritikan Mahathir kepada Umno, kerajaan dan Najib sudah menjadi episod bersiri sebenarnya.

Ia kini sudah memasuki siri kelima - bermula dengan luahan kecawa kerana anaknya bukan calon pilihan Najib, politik wang telah menyebabkan calon tidak layak terpilih, kerajaan Najib makin lemah kerana tunduk kepada tuntutan ekstrem pembangkang, tekanan kepada Ghani Patail tetapi sasaran sebenarnya ialah Najib dan terbaru kritikannya mengenai pemberian wang dan hadiah yang dianggap pembaziran dalam kempen.
Pastinya selepas ini banyak lagi kritikan dan serangan akan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu. Dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah terlihat tanda-tanda bahawa semua yang ada dalam Umno dan kerajaan sekarang tidak lagi betul di mata Mahathir.

Bukan sahaja pemberian wang dan hadiah yang dulunya menjadi alat memenangkan BN setiap kali pilihan raya sudah dianggapnya tidak betul dan membazir, malah Ghani Patail yang mula digunakannya ketika era pemerintahannya untuk mendakwa dan menyingkirkan musuh politiknya Anwar Ibrahim ketika ini, turut dilihat tidak lagi betul sekarang ini.

Oleh itu, janganlah terkejut jika selepas ini bukan saja kritikan Mahathir makin kerap, malah apa yang dulunya dianggap betul, turut dilihat salah selepas ini. Oleh kerana Mukhriz menang undi popular berbanding Hishammuddin yang mengatasinya dengan kelebihan 9 undi berdasarkan kaedah "electoral college" atau satu bahagian satu undi, tidak mustahil juga Mahathir selepas ini mahukan kaedah undi popular diguna pakai dalam pemilihan Umno pula.

Sikap berubah-ubah bukanlah asing bagi Mahathir dan dalam sejarah politiknya, sudah banyak kali kawan bertukar menjadi musuh dan musuh kembali menjadi kawan.

Oleh itu, bermula dengan semuanya tidak lagi dianggap betul oleh Mahathir sekarang ini, tidaklah mustahil Najib yang dulunya wangi dan disanjung, bakal dikitai tak lama lagi. – shahbudindotcom, 9 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: