MAHATHIR LANGGAR MANIFESTO SEKALI LAGI?


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akhirnya dilantik untuk memangku jawatan Menteri Pendidikan yang dikosongkan oleh Dr. Mazlee Malik.

Disebut dalam kenyataan media hari ini bahawa keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada mesyuarat kabinet pada Rabu, 8 Januari lalu.


Tugas Tun Mahathir memangku jawatan tersebut adalah berkuatkuasa 3 Januari lalu iaitu hari bermulanya perletakan jawatan Dr. Mazlee dan sehingga Menteri Pendidikan baru dilantik.

Selepas PRU14 lalu, Tun Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri PH telah menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan, sebelum beliau kemudian dikritik ramai kerana dianggap telah melanggar manifesto pilihanraya.

Salah satu manifesto PH dalam PRU14 ialah tidak membenarkan Perdana Menteri memegang sebarang porfolio kementerian seperti mana era BN bagi memastikan seorang ketua kerajaan tidak mempunyai kuasa terlalu berlebihan dan fokus terhadap tugas mengurus negara.

Berikutan itu, Tun Mahathir menarik balik perlantikan terhadap dirinya itu dan kekal hanya menjadi Perdana Menteri saja serta melantik Dr. Mazlee sebagai Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, setelah 20 bulan memegang jawatan itu, Dr. Mazlee telah diarah berhenti oleh Tun Mahathir berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Sekarang, Tun Mahathir kembali memegang jawatan Menteri Pendidikan yang gagal diberikan kepada dirinya sebelum ini.
Tidakkah ini bererti beliau melanggar manifesto sekali lagi?

Walaupun beliau dikatakan memegang jawatan tersebut hanya untuk sementara sehingga Menteri Pendidikan baru dilantik, soalnya bilakah perlantikan Menteri Pendidikan baru itu akan dibuat?

Minggu depan? Bulan depan? Dua bulan lagi?
Atau bila?

Tidak mustahilkah nanti sehingga bersara pun beliau masih kekal memangku jawatan Menteri Pendidikan?

Tidak kira berapa lama Tun Mahathir akan memegang jawatan itu, sementara atau hanya memangku saja, asal ada kementerian lain diterajuinya, beliau dengan jelas dianggap telah melanggar manifesto pilihanraya.

Kenapa tidak terus dilantik saja Menteri Pendidikan yang baru sekarang?

Apa yang mahu dilakukannya, membereskan isu jawi, menangani Dong Zong atau menyelesaikan isu internet sekolah-sekolah? (ShahbudinHusin 10/01/2020)


No comments: